بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah syukur atas nikmat dan pinjamanNya yang masih diberikan sehingga detik ini terutamanya nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam kepada junjungan besar Muhammad S.A.W. yang telah berusaha gigih menyampaikan Islam sehingga agama ini sampai kepada kita pada hari ini. Agama mulia yang juga diperintahkan Allah kepada kita untuk menyambung dan meneruskan perjuangan itu hingga sampai ke titisan darah dan hembusan nafas yang terakhir walau dengan apa cara sekalipun.
Alhamdulillah Dia menganugerahkan kepada aku satu kefahaman bahawa hidup ini perlu diteruskan walau hanya ujian yang perlu dihadapi di hadapan. Jangan pernah mengeluh dan berputus asa dari rahmat dan hidayahNya kerana cintaNya amat luas. Dia tidak akan pernah meninggalkan hambaNya terkapai-kapai mencari jalan seorang diri. Cuma adakah hambaNya itu sedar akan hakikat itu. Ya Allah, ampunilah kami. FirmanNya dalam surah Ar-Rahman :-
{ * الرَّحْمَنُ * عَلَّمَ الْقُرْآنَ * خَلَقَ الْإِنْسَانَ * عَلَّمَهُ الْبَيَانَ }
Mafhumnya : [1] (Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.
[2] Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran.
[3] Dia lah yang telah menciptakan manusia.
[4] Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.
[2] Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran.
[3] Dia lah yang telah menciptakan manusia.
[4] Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.
Tugas kita di muka bumi ini sebagai khalifah. Kita telah diberi amanah dan tanggungjawab untuk menyebarkan Islam. Kita telah ditunjukkan dengan cara-cara bagaimana untuk berdakwah. Kita dipamerkan juga dengan contoh2 para nabi yang telah bersusah payah menyeru kaum2 mereka dengan matlamat dan tujuan yang jelas iaitu mengesakan Allah. Itulah tugas kita. Sama seperti Nabi-Nabi terdahulu. Ujian dan cabaran dalam berdakwah itu satu perkara yang lazim. Banyak kisah para nabi di dalam Kitab suci Al-Quran yang boleh kita jadikan penguat tatkala rasa lemah menyapa diri. Terlalu banyak kata-kata pujukan dari Tuhan tatkala kesedihan mengiringi hari kita. Semuanya telah Dia sediakan untuk kita. Semuanya telah Dia berikan kepada kita. Lihatlah betapa kasih dan cintaNya Dia kepada kita. Tapi banyak manakah larangan Dia yang telah kita lakukan? Banyak manakah tugasan yang Dia berikan telah kita siapkan? Banyak manakah cinta kita kepada Dia? Banyak manakah lagi kemungkaran yang ingin kita lakukan? Banyak mana lagikah dosa yang ingin kita terus kumpul???
Sedarlah wahai manusia yang memimpin bumi, bangunlah dari kejahilan lalu. Mulakan langkah baru. Mulakan hidup baru bersama Islam. Jadikan kisah silam kita sebagai pengalaman untuk maju ke hadapan. Carilah redho Ilahi. Bukan redho manusia. Kejarlah syurga Allah bukan syurga dunia. Jangan rugikan diri dengan perkara yang sia-sia. Jangan pandang enteng pandangan Allah terhadap kita. Waspadalah dengan azab Allah. Berhati-hatilah dengan setiap perkara yang kita lakukan supaya tidak ada lagi benda kejahilan yang kita lakukan.
Hari Akhirat adalah hari yang pasti berlaku. Hari setiap makhluk dibangkitkan daripada tidur yang selamanya bagi kita penduduk dunia, namun hanyalah sementara sebelum kita dihimpunkan beramai-ramai kelak. Teringat kata-kata Dr. Amjad dalam muhadarah saqafah Islamiyyah tentang gambaran pada hari kiamat nanti tentang pemberian kitab amalan kita. Kebetulan kami disajikan dengan markah ujian penggal 1 pada hari ini. Dr telah mengingatkan bahawa ujian yang telah kami lakukan ini merupakan test dan gambaran perasaan di mahsyar kelak yang mana apabila kita berasa gembira dengan kejayaan dalam ujian kerana markah yang tinggi, maka samalah juga dengan perasaan apabila kita diberikan kitab amalan dengan tangan kanan yang menunjukkan kita telah berjaya di dunia Allah dengan pangkat mumtaz dan mendapat hadiah syurga daripada Malik kita. Betapa gembiranya perasaan ketika itu setelah kita berhempas pulas melaksanakan perintahNya dan menahan diri daripada perkara-perkara buruk yang sangat susah untuk kita hindari, bukan sahaja itu malahan seronok dan sedap untuk dilakukan seperti hidangan makanan yang sedap tetapi kita ditegah untuk memakannya kerana ianya milik orang lain. Setelah menghadapi segala bentuk ujian dan cabaran, sakitnya hilang dan terus dilupakan setelah mendapat kejayaan di sisiNya.
Begitulah sebaliknya, sekiranya kita mendapat markah yang rendah di dalam ujian. Kita akan merasa frust dan sedih. Kesal dengan apa yang kita telah lakukan sepanjang masa lalu kita kerana tidak berusaha gigih dan belajar bersungguh-sungguh. Begitu jugalah perasaan kita pada masa kita diberikan kitab dari arah kiri yang mana telah kita fahami maksudnya iaitu neraka Allah sedang menanti untuk membakar diri kita kerana lalai mengikut apa yang telah Tuannya perintahkan. Menghukum kita dengan dosa-dosa yang pernah kita lakukan di muka bumi Dia suatu masa dahulu dengan bangga dan tanpa segan silu. Pada masa kita terima itu kita pasti tertunduk hiba mengenangkan kejahatan dan kesilapan yang kita seronok jalankan. Wajah tertunduk muram kerana tiada lagi jalan pengembalian untuk kita. Tiada lagi peluang untuk kita. Tiada sudah pintu taubat yang terbuka buat kita. Semuanya kelam dan gelap. There's no turning back. Cerita telah tamat. Inilah bezanya dengan ujian yang kita ambil di sekolah atau universiti kerana kita masih tetap mempunyai peluang untuk melakukan yang terbaik pada masa akan datang. Kita boleh mengulang semula subjek yang diambil sekiranya banyak duit dan belajar di universiti. Kita masih boleh buat yang terbaik untuk peperiksaan seterusnya dan membetulkan segalanya.
Namun, hari Akhirat tidak memberikan peluang seperti itu. Kerana itu kita perlulah sentiasa bertaubat dan menyesali perbuatan terkutuk yang kita lakukan. Tidak melakukan lagi perkara yang sama. Lakukan perubahan tidak untuk orang lain melainkan adalah untuk diri kita juga. Allah berfirman dalam surah Al-Haqqah ayat 19 - 37 :-
{ فَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَيَقُولُ هَاؤُمُ اقْرَءُوا كِتَابِيَهْ * إِنِّي ظَنَنْتُ أَنِّي مُلَاقٍ حِسَابِيَهْ * فَهُوَ فِي عِيشَةٍ رَاضِيَةٍ * فِي جَنَّةٍ عَالِيَةٍ * قُطُوفُهَا دَانِيَةٌ * كُلُوا وَاشْرَبُوا هَنِيئًا بِمَا أَسْلَفْتُمْ فِي الْأَيَّامِ الْخَالِيَةِ * وَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِشِمَالِهِ فَيَقُولُ يَا لَيْتَنِي لَمْ أُوتَ كِتَابِيَهْ * وَلَمْ أَدْرِ مَا حِسَابِيَهْ * يَا لَيْتَهَا كَانَتِ الْقَاضِيَةَ * مَا أَغْنَى عَنِّي مَالِيَهْ * هَلَكَ عَنِّي سُلْطَانِيَهْ * خُذُوهُ فَغُلُّوهُ * ثُمَّ الْجَحِيمَ صَلُّوهُ * ثُمَّ فِي سِلْسِلَةٍ ذَرْعُهَا سَبْعُونَ ذِرَاعًا فَاسْلُكُوهُ * إِنَّهُ كَانَ لَا يُؤْمِنُ بِاللَّهِ الْعَظِيمِ * وَلَا يَحُضُّ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ * فَلَيْسَ لَهُ الْيَوْمَ هَا هُنَا حَمِيمٌ * وَلَا طَعَامٌ إِلَّا مِنْ غِسْلِينٍ * لَا يَأْكُلُهُ إِلَّا الْخَاطِئُونَ* }
Mafhumnya :
(19) Adapun orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia berkata: "Ambillah, bacalah kitabku ini.”
(20) “Sesungguhnya aku yakin, bahawa sesungguhnya aku akan menemui hisab terhadap diriku.”
(21) Maka orang itu berada dalam kehidupan yang diredai.
(22) Dalam syurga yang tinggi.
(23) Buah-buahannya dekat.
(24) Makan dan minumlah sepuas-puasnya disebabkan apa yang telah kamu lalui pada hari-hari yang telah lalu.
(25) Adapun orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kirinya, maka dia berkata: "Wahai alangkah baiknya jika tidak diberikan kepadaku kitabku ini.”
(26) “Dan aku tidak mengetahui apalah hisab terhadap diriku.”
(27) “Wahai kiranya (kematian) itulah yang menyelesaikan.”
(28) “Hartaku tidak memberi manfaat kepadaku.”
(29) “Telah hilang kekuasaanku daripadaku"
(30) Peganglah dia, dan belenggulah tangannya ke lehernya.
(31) Kemudian masukkan dia ke dalam api neraka yang menyala-nyala.
(32) Kemudian (belitlah dia) dengan rantai yang panjangnya tujuh puluh hasta.
(33) Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah al-‘Adzim (Yang Maha Besar).
(34) Dan dia tidak mendorongkan untuk memberi makan orang miskin.
(35) Maka tiada seorang teman pun baginya pada hari ini di sini.
(36) Dan tiada makanan sedikit pun (baginya) kecuali dari darah dan nanah.
(37) Tidak ada yang memakannya kecuali orang yang berdosa.
Selain itu sampaikan apa yang kita tahu kepada orang lain kerana kita adalah bersaudara. Sebagaimana sayangnya kita kepada ahli keluarga kita, cubalah menyayangi orang lain juga seperti itu. Kerana hanya dengan kasih sayanglah kita akan memberikan dan berkongsi segala yang kita ada dengannya. Kerana itu jugalah apa yang telah disampaikan oleh Nabi kita Muhammad S.A.W. Marilah menjadi penyambung warisan Nabi Muhammad. Berjuang bermatlamatkan Allah Yang Satu.
No comments:
Post a Comment