oleh : Sammaituha Najwa
Engkau masih berada di gigi air. Debur ombak menghempas pantai yang sesekali memercik pada wajah tidak engkau endahkan. Buih-buih ombak menyapa sopan kaki engkau yang tidak beralas. Tracksuit bertulisan Antioni sudah basah mencecah lutut. Engkau masih mahu memetia samudera lautan terbentang dan langit tinggi yang terhampar. Seluas lautan engkau pernah menyulam impian dan harapan. Setinggi langit engkau gantung erti sebuah perjuangan.
Menggantung tinggi erti sebuah perjuangan? Engkau mendongak memandang langit yang kebiru-biruan. Waktu engkau hamper tersungkur menyembam bumi, langit itu menyedarkan bahawa engkau tidak keseorangan dan lautan itulah yang patuh merakam segala detik pertemuan engkau bersama khaleed. Rafiq dan rijal sejati yang mngajar erti perjuangan.
Engkau merenung laut dan langit silih. Khaleed, engkau rindukan persahabatan singkat beberapa tahun bersamanya. Ah, rijal itu sekelumit kalimah putus asa tidak pernah dibiarkan menghuni relung hati dan jiwanya. Dia pejuang agama yang tidak pernah tewas.
Persahabatan engkau bersama Khaleed hanya berangka tiga tahun. Meskipun begitu, akrab kemesraan yang terjalin melangkau usia sebenar perkenalan. Engkau kenal Khaleed ketika bertandang mencari angin damai
Ketika engkau ralit melayan gundah yang membelenggu, Khaleed menghulur ukhwah. Hati dan jiwa engkau yang ketika itu bernafas songsang amat memerlukan teman menyambut dingin ukhwah yang bakal terbina.
“Pada langit, kau akan temui kebesaran. Pada langit, kau tidak akan keseorangan dan pada langit akan kau ketahui tinggi nilai sebuah perjuangan.” Engkau memandang langit. Suatu ketika dahulu, pengajaran itu terlantun dari bibir Khaleed saat mula berkenalan. Khaleed yang ketika itu hampir seminggu memerhati tingkah gusar engkau di pantai menyapa. Khaleed mahu mengajar engkau erti tidak berputus asa. Khaleed yang mahu mengajar engkau akan hakikat sebuah perjuangan.
“Aku mengenali engkau sebelum pertemuan ini lagi.” Engkau kaget metah.
“Kita dalam satu Fakulti di Al-Azhar. Aku seperti engkau. Ke mari mencari damai ciptaan Tuhan. Bezanya, hanya ini tahun pertama aku mengulang.” Engkau mengumbar keluhan, melerai asakan yang berombak di dada
“Engkau cemas kerana rezeki esok hari, tetapi siapa dapat menjamin datangnya hari esok? Engkau bersedih kerana yang terjadi kelmarin, tetapi siapa yang mampu mengembalikan hari kelmarin?” Khaleed menebak. Ringkas diksi yang terlantun, namun tujahannya terasa menikam dada.
“Maksud engkau?”
“Perhatikan laut dan langit yang menjadi destinasi kita hari ini. Lihatlah musibah yang datang dari sudut yang paling memberikan harapan. Bergembiralah dengan pahala yang akan engkau peroleh darinya. Aku mengerti akan keperitan yang bermukim di jiwa mu.”
“Perhatikan langit itu.” Khaleed menuding jari ke arah langit. Sesekali bola matanya menyeluruhi engkau yang kaku berdiri.
“Ajaib bukan, ia dijadikan tanpa ada yang mengikat dan menggantungnya. Tekal begitu memayungi semesta tanpa perlu ada yang menyendal. Aku hairan, apabila manusia lebih mengagumi pyramid Besar Kufu dan Sphinx yang romping hidungnya tetapi kabur pada langit yang tidak berpasak. Di sebalik langit itu ada ketentuan qada’ dan qadar yang kita imani. Dongaklah kepala mu ke atas. Di
“Aku telah berusaha yang terbaik. Malah, aku korbankan segala-galanya untuk peperiksaan yang lalu” Engkau telan genang yang mula mahu berjatuhan mengenang jerih payah yang telah engkau lakukan demi sebuah kejayaan.
Engkau terkesima. Memang. Memang engkau akui kebenaran kata Khaleed. Engkau lupa pada Dia yang menentukan takdir kehidupan. Engkau lupa bahawa manusia beriman diduga melalui kepayahan. Akhirnya genang yang tertahan jatuh menginsafi kebenaran sebuah perjuangan. Ombak rimas yang mengasak dada mula surut dan pawana mesra mula berpuput di relung hati dan jiwa engkau.
Kaki engkau yang tidak beralas tiba-tiba terasa sakit. Ingatan engkau pada Khaleed bubar. Engkau terjingkit menahan sakit. Engkau terpijak cangkerang umang-umang. Di hujung buih ombak engkau lihat beberapa umang-umang dan kulit-kulit kepah hanyut dibawa ombak yang menghakis pasir.
Engkau melabuh punggung kental di pesisir. Kaki yang masih sakit tidak engkau endahkan. Engkau masih mahu mengenang Khaleed yang hatinya sesuci embun pagi, mahmudahnya seluas lautan biru, kasihnya pada engkau seindah jalur pelangi dan perjuangannya setinggi langit.
“Manusia biasa memijak duri sekali dalam hidupnya. Tetapi manusia yang beriman akan memijak duri sepanjang hayatnya.” Engkau senyum kelat mengingat kata-kata Khaleed.
Pertemuan pertama engkau bersama Khaleed tidak berakhir setakat itu. Apabila sesi baru pengajian bermula, engkau menjadi karib dengan Khaleed. Kemesraan erat terjalin apabila engkau dan Khaleed sama-sama berjaya ke tahun berikutnya. Dalam waktu yang sama engkau dan Khaleed turut tersenarai sebagai penerima biasiswa daripada jabatan universiti atas keputusan peperiksaan yang agak membanggakan.
Engkau dan Khaleed turut terpilih menghuni asrama khusus untuk penerima biasiswa selama dua tahun. Tempoh dua tahun itu membuatkan engkau kian mengenali hati dan budi Khaleed. Sungguh, dia pejuang yang tidak pernah putus asa dan tewas.
Engkau terpanggung kepala, terbelalak mata apabila mengetahui siapa diri Khaleed yang sebenar. Dia pejuang Al-Quds yang diusir dari tanah kelahiran sendiri. Itu ceritera yang singgah di cuping telinga engkau. Ah, engkau terlalu ralit mengejar impian dan cita-cita hingga terabai rafik terakrab itu siapa.
to be continued...
dipetik dari buku Antologi Cerpen dan Puisi - DALAM 10 YANG KUGELAR CINTA.
No comments:
Post a Comment