Thursday, 4 November 2010

..~Ya Allah, Aku Terharu!!!~..

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum dan selamat pagi, petang, siang dan malam kepada semua makhluk yang masih diberikan udara untuk bernafas dan jasad yang tetap mempunyai roh dan nyawa yang dipinjamkan ini. Moga kita terus bersyukur dan tidak lupa untuk mengucapkan kalimah Alhamdulillah dalam tiap rezeki dan kurnia yang telah diberikan Tuhan Pencipta dan Pemilik Alam ini. ALHAMDULILLAH!! ALHAMDULILLAH!! ALHAMDULILLAH!!

Sepanjang kehidupan di dunia ini, terlalu banyak tarbiyah dari Allah dalam kita sedar mahupun tidak. Segala penciptaan dan kejadian yang berlaku hanya dapat dirasai kemanisannya dan keajaibannya apabila direnungkan dan dimuhasabah kembali segala-segalanya. Kita didatangkan dengan ujian supaya kita bersabar dan bersyukur serta sebagai bukti penyerahan 100% dari kita sebagai hamba-Nya. Tetapi adakah dan pernahkah kita berfikir tentang-Nya? Selalunya apabila ditimpa dengan ujian berbentuk musibah, bencana atau boleh dikatakan juga sesuatu yang manusia akan merasakan kesakitan dan kepedihan, barulah kita akan memohon dan teringat pada-Nya. Tetapi bila tidak didatangkan dengan ujian seumpama itu, kita akan sering terleka dan lalai dari memohon dari-Nya sedangkan Dia sentiasa menanti permohonan dan rayuan daripada kita. Itulah bukti betapa Ar-Rahman dan Ar-Rahimnya Dia.

Pernah ada orang betanya kepada saya apabila saya berkata "Ya Allah, aku terharu dengan keajaibanMu."  dia bertanya apakah keajaiban yang telah berlaku itu dan meminta untuk berkongsi dengannya. Keajaiban yang dimaksudkan itu merupakan tarbiyah daripada Allah yang membuatkan datangnya satu perasaan takjub dan bertuahnya hidup ini bertuhankan Tuhan yang mampu mencuit hati ini hanya dengan satu tarbiyah yang kecil tanpa kita pernah sedari sebelum itu bahawa ianya merupakan satu anugerah daripadaNya. Subhanallah. Betapa lekanya hidup ini sehingga apabila datang perkara yang besar barulah perkara-perkara kecil yang dianggap tidak mempunyai apa-apa itu menjadi apa-apa dan sesuatu yang bermakna. Astaghfirullahalazim. Moga Allah mengampunkan dosa-dosaku dan dosa semua umat islam di muka bumi ini serta berikan kepada kami rahmat dan hidayah-Nya dalam menuju redho-Nya.




Erm, mesti anda terfikir kan apakah sebenarnya yang berlaku dan apakah tarbiyah tersebut. ( jika tidak berfikir demikian pun tidak mengapa, tiada masalah..huhu..) Kita dikurniakan otak dari awal kita dilahirkan di dunia ini lagi. Alhamdulillah diberikan akal yang waras dan dapat berfikir dengan sebaiknya. Nikmat akal dan otak yang dikurniakan ini sering kali kita lupa bahawasanya ia merupakan satu nikmat yang kekal Allah berikan kepada kita. Allah tidak berikan kepada haiwan dan tumbuh-tumbuhan juga kepada makhluk-makhluk lain. Ini jelas menunjukkan betapa istimewanya kita dihidupkan sebagai manusia di alam ini. Apa yang pernah berlaku dihadapan mata saya sendiri apabila orang yang terdekat dengan saya ditarik nikmat tersebut sementara waktu. Allah Yang Maha Mengetahui ini telah mengajar hamba-Nya yang sedang lalai supaya berfikir dan mengingati-Nya dalam tiap jua hal yang berlaku. Betapa sedih dan takutnya pada saat dan ketika itu sekiranya orang yang kita sayangi tidak dapat kembali seperti biasa dan normal. Pada masa itulah tersedarnya saya yang akal itu kurniaan Allah yang boleh diambil semula pada bila-bila masa yang Dia ingini. Jangan pernah kita fikirkan bahawa tiap apa yang ada pada kita tidak mungkin ditarik semula oleh peminjamnya sekiranya kita tidak gunakan dan jagainya dengan sebaik mungkin. Maka gunakanlah ia dengan sebetulnya dan tempatkan ia ditempat yang benar dan selamat berpandukan pada setiap yang telah diajarkan dan digariskan dalam Islam.

Apa yang membuatkan saya lebih terharu adalah setelah sembilan bulan lebih berhempas pulas dengan pelbagai usaha dan doa, alhamdulillah Allah terus memberi nikmat tersebut kembali dalam sekelip mata sahaja. Subhanallahiwabihamdih, Subhanallahilazim.. Hebatnya kekuasaan dan keajaibanMu ini. Dari suatu kegembiraan dia ajarkan dengan satu keperitan dan akhirnya dia kurniakan kebahagiaan kembali buat hamba-hambaNya. Lihatlah halusnya tarbiyah dari Allah ini hanya dengan mengambil satu bahagian daripada pinjamanNya sahaja membuatkan manusia menjadi kelam kabut dan hidup dalam kesengsaraan. Tetapi dengan keyakinan dan kepercayaan kepadaNya jugalah yang membuatkan manusia mampu terus berusaha dan bertawakal agar diberikan peluang dan kesempatan lagi untuk beramal dan berbakti buatNya.

"Ya Allah, sehinga hari ini aku masih lagi terharu dengan tiap apa yang telah Engkau datangkan kepada aku dan keluargaku. Moga apa yang berlaku dapat membuka mata kami dan mengingatkan kami tentangMu dan mendekatkan lagi kami kepadaMu tanpa jemu Ya Allah. Jadikanlah kami dalam kalangan hamba-hambaMu yang bersyukur dan bertakwa. Aminn Ya Rabbal A'lamin.."





1 comment:

Anonymous said...

alhamdulillah a'la kulli hal...
moga terus sabar tok ujian2 yang akn dtng..

kadangkala Allah hilangkan sekejap matahari,
kemudian datangkan pula guruh dan kilat,
puas kita mencari dimana matahari??
rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi.

haaa...jdnye.jngn mengeluh dengan sesuatu ujian tu..mesti de hikmah di akhirnya...hehe..alhamdulillah sekali lagi...:)