JIKA ditakdirkan hidup seseorang itu menjadi yatim piatu, sebenarnya mereka sangat bertuah. Sekalipun keperitan begitu dirasai akibat kehilangan ibu dan bapa sehingga merasakan hidup ini seperti tiada maknanya lagi. Namun, bayangkan Nabi Muhammad SAW yang sedari kecil baginda juga telah kehilangan kedua-dua orang tua yang sangat dikasihi.
Pernahkah kita menemui kisah, Nabi SAW menghabiskan usianya dengan meratap hiba atas kehilangan kedua-dua manusia yang paling bermakna dalam hidupnya itu? Tentu sama sekali kita jarang menemui kisah sedih seperti itu.
Tetapi jika kita hayati seluruh kisah perjuangan Rasulullah, seolah-olah baginda ingin memberitahu bahawa sebagai anak yatim piatu, baginda terbukti sangat berjaya dalam hidup dan seharusnya semua anak-anak yatim juga begitu! Baginda sedia menjadi contoh atau suri teladan untuk golongan ini.
Jadi tidakkah bertuahnya mereka kerana mempunyai Rasulullah untuk mereka contohi bagi menjejak kejayaan dalam hidup? Justeru mereka ini sebenarnya merupakan yang paling mengenali Rasulullah kerana menjadikan baginda sebagai pengganti kepada ibu bapa yang telah tiada.
Dengan kata lain, jika baginda yang yatim dan piatu itu begitu berjaya mengukir nama dan sejarah, mengapa tidak bagi anak-anak yatim yang lain, mereka juga boleh berjaya sebagaimana yang dicapai oleh Rasulullah!
Begitupun kita begitu mengenali Abdullah bin Abdul Mutalib dan Siti Aminah binti Wahab sebagai orang tua yang melahirkan baginda Rasulullah ke dunia ini! Tetapi mungkin sekadar mengenali nama dan mungkin tidak pelbagai kisah yang berlaku di sebalik riwayat hidup mereka.
Datuk Nabi Muhammad, Abdul Mutalib mempunyai 10 anak lelaki, iaitu Al Harith, Al Zubayr, Abu Talib, Abdullah, Hamzah, Abu Lahab, Al Ghaydaq, Al Miqwam, Saffar dan Al Abbas. Malah dikatakan Abdul Mutalib mempunyai seorang lagi anak yang dikenali Qutham. Malah ada yang mengatakan beliau mempunyai 13 anak lelaki kesemua dengan dua lagi dikenali sebagai Abdul Kaabah dan Hajal. Namun dikatakan Abdul Kaabah merupakan nama gelaran untuk anaknya yang bernama Al Miqwam dan Hajal pula merupakan gelaran kepada Al Gaydaq. Selain anak lelaki, Abdul Mutalib mempunyai enam anak perempuan, Ummu Hakim atau Al Bayda, Barrah, Atiqah, Safiyyah, Arwa dan Umaymah.
Begitulah kayanya datuk Rasulullah ini kerana mempunyai keturunan yang ramai. Di tambah, beliau seorang yang sangat dikenali di kalangan penduduk Arab atas kemuliaan tugasnya bagi meneruskan tradisi Bani Hasyim sebagai yang bertanggungjawab memberi makan dan minum kepada mereka yang datang ke Mekah untuk mengerjakan haji.
Ini menjadikan beliau seorang yang terhormat dan ditaati serta mempunyai kedudukan yang tinggi di kalangan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam itu.
Bapa nabi, Abdullah dikatakan anak Abdul Mutalib yang terbaik. Ini kerana Abdullah adalah anak yang paling sopan, paling baik budi pekertinya sehingga begitu disayangi ramai.
Bercerita mengenai bapa Rasulullah ini, sejarah pasti sesuatu yang sangat berbeza jika peristiwa Abdullah hendak disembelih oleh bapanya sendiri akibat hendak membayar niat nazar benar-benar terjadi.
Begitupun sangat menarik untuk kita mengetahui kisah penyembelihan itu bagi menunjukkan betapa kuatnya elemen-elemen jahiliah, termasuk menggunakan anak panah sebagai menentukan nasib dalam aspek budaya dan sosial masyarakat Arab pra Islam itu.
Akibat peristiwa nazar itu, bapa Rasulullah ini turut dikenali dengan gelaran Al Dhabih (mangsa penyembelihan), iaitu akibat dari nazar yang dibuat oleh Abdul Mutalib kerana mempunyai anak-anak lelaki yang begitu beliau banggakan. Sehinggakan beliau sanggup menyembelih di sisi dinding Kaabah salah seorang anak lelakinya itu.
Sebagaimana tradisi Arab Jahiliah yang begitu berpegang kuat kepada ramalan dan tilik nasib, Abdul Mutalib juga tidak terkecuali. Beliau telah menulis nama kesemua anak lelakinya itu pada anak-anak panah dan diberikan kepada penjaga Hubal, sebuah patung berhala besar yang boleh didapati berhampiran Kaabah.
Si penjaga berhala itu juga seorang yang berfungsi sebagai yang mencabut anak-anak panah bagi menentukan nasib yang mesti dihadapi oleh mereka yang meramal menggunakan anak panah ini.
Lalu selepas menggoncang anak-anak panah itu, maka anak panah yang dipilih dan dicabut keluar mencatatkan nama Abdullah, anak yang paling disayangi oleh Abdul Mutalib.
Namun akibat niat bernazar yang kuat, Abdul Mutalib tidak ada pilihan kecuali terpaksa menyerahkan juga anak yang paling disayanginya itu untuk disembelih.
Lalu tanpa banyak berkata-kata lagi, Abdul Mutalib pun membawa Abdullah ke Kaabah dan sebilah pisau tajam yang hendak digunakan untuk menyembelih anaknya itu. Tindakan Abdul Mutalib itu benar-benar menimbulkan kegemparan di kalangan penduduk kota Mekah ketika itu.
Mereka berusaha sedaya upaya untuk menghalang Abdul Mutalib daripada meneruskan niatnya untuk menyembelih Abdullah itu. Bapa-bapa saudara Abdullah sebelah ibunya (Fatimah binti Amru bin Aidh bin Imran bin Makhzum bin Yaqzah bin Murrah) daripada kalangan Bani Makhzum dan terutamanya saudaranya Abu Talib begitu menghalang Abdul Mutalib daripada terus menyembelih Abdullah.
Tetapi Abdul Mutalib seorang yang berpegang kepada nazarnya, tetap akan meneruskan niatnya itu kecuali terdapat cadangan lain yang dapat menebus nazar tersebut.
Lalu mereka mencadangkan supaya Abdul Mutalib menemui seorang ahli tilik wanita untuk meminta nasihat daripadanya mengenai masalah nazar itu.
Wanita itu mencadangkan menuliskan nama Abdullah pada anak panah itu dengan tebusan 10 ekor unta. Jika nama yang keluar ialah nama Abdullah maka hendaklah ditambah 10 ekor unta lagi sehingga Tuhan merestuinya. Jika anak yang dicabut pula ialah unta maka hendaklah disembelih unta-unta itu.
Namun yang terjadi selepas itu, nama Abdullah yang sentiasa ‘naik’ pada cabutan sehinggalah 10 kali cabutan yang menyebabkan setiap satunya terpaksa ditambah dengan 10 ekor unta lagi. Ini menjadikan kesemuanya 100 ekor unta menjadi tebusan kepada nyawa Abdullah.
Maka terlepaslah nyawa Abdullah dengan dibayar 100 ekor unta yang kemudiannya diberi kepada orang lain tanpa halangan atau disembelih.
Sebelum ini bayaran diat di kalangan orang Arab hanya 10 ekor unta tetapi sejak peristiwa itu bayaran diat bagi nyawa manusia menjadi 100 ekor unta yang kemudiannya diterima dalam Islam.
Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda: “Aku adalah putera dua orang yang disembelih (iaitu Nabi Ismail dan bapa Baginda, Abdullah)”.
Abdul Mutalib tentu sahaja gembira dengan penebusan nyawa anaknya itu, beliau kini beroleh kembali anaknya itu daripada bakal disembelih oleh tangannya sendiri.
Sebagai meraikan anaknya itu dan kebetulan Abdullah didapati sudah sesuai untuk mendirikan rumah tangga, lalu Abdul Mutalib menjodohkan anaknya dengan Siti Aminah binti Wahb bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab menjadi isteri. Ketika itu Aminah dianggap wanita bangsa arab Quraisy yang paling mulia dari segi keturunan dan kedudukan. Bapanya ialah ketua Bani Zuhrah dari segi hubungan nasab dan kemuliaan.
Lalu berkahwinlah Abdullah dan Siti Aminah lalu mereka menetap di Kota Mekah.
Tidak lama mereka berkahwin, Abdullah bersama rombongan kafilah dagangan menuju ke Madinah bagi menjalankan perniagaan di sana. Sesetengah meriwayatkan Abdullah sebenarnya hendak menuju ke Syam tetapi di pertengahan jalan, beliau kemudiannya jatuh sakit lalu meninggal dunia berhampiran Madinah.
Jenazahnya dikebumikan di Dar al Nabighah al Ja’di dikatakan dalam usia yang sangat muda iaitu 25 tahun.
Kematian Abdullah ini dikatakan pada dua bulan sebelum keputeraan anakandanya, Rasulullah menyebabkan si anak menjadi yatim sejak dalam kandungan ibunya lagi, Siti Aminah.
Kematian Abdullah benar-benar diratapi dengan penuh sedih oleh Siti Aminah, tentunya kerana mengenangkan nasib anaknya yang tidak sempat melihat wajah si bapa.
Sambil meratap hiba itu, Aminah sempat melagukan sebuah syair pilu seperti yang tersiar dalam keluaran lalu.
Pemergian Abdullah telah meninggalkan kepada isterinya itu iaitu lima ekor unta, beberapa ekor kambing dan seorang hamba perempuan berketurunan Habsyah bernama Barakah yang digelar Ummu Ayman yang kemudiannya pernah mengasuh Rasulullah semasa Baginda masih kecil!.
- Petikan daripada Sirah Nabawiyah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
Bismillah..
Marilah kita sama-sama menghayati pesanan terakhir daripada Nabi kita Nabi Muhammad S.A.W. Moga kita menjadi hamba Allah yang sentiasa bertaqwa dan beriman kepadaNya serta menambahkan lagi rasa cinta kepadaNya disamping rasa cinta kepada Baginda Rasulullah..
"Wahai manusia! Dengarlah sabdaku. Aku tidak tahu, boleh jadi aku tidak akan menemui kamu selepas tahun ini di tempat ini untuk selama-lamanya. (Ramalan ini adalah antara mukjizat Rasulullah s.a.w.).
Wahai manusia! Darah dan harta kamu mesti dihormati sehingga kamu bertemu kembali dengan Tuhan kamu. la mesti dihormati sebagaimana kehormatan hari kamu ini (Hari Arafah) dan kehormatan bulan kamu ini (bulan haram Zulhijjah). Kamu akan bertemu dengan Tuhan kamu, lalu Dia akan menyoal kamu tentang amalan-amalan kamu. Sesungguhnya aku telah menyampaikan. Sesiapa yang mempunyai amanah, hendaklah dia menunaikan amanah itu kepada pemberi amanah. Semua amalan riba dihapuskan. Namun kamu berhak memiliki modal kamu tanpa kamu menzalimi atau dizalimi. Allah telah menetapkan tiada riba (lagi diamalkan). Oleh itu, semua riba kepunyaan Abbas bin Abdul Muttolib dihapuskan. Setiap tuntutan darah pada zaman jahiliah digugurkan. Tuntutan darah pertama yang aku gugurkan ialah darah Ibnu Rabiah bin al-Harith bin Abdul Muttolib (dia disusukan oleh Bani Laith dan telah dibunuh oleh Huzail). Dia merupakan tuntutan darah jahiliah pertama yang aku mulakan pengguguran tuntutannya.
Wahai manusia! Syaitan telah berputus asa buat selama-lamanya untuk dia disembah lagi di bumi kamu ini. Namun sekiranya dia dipatuhi dalam perkara lain yang kamu anggap lekeh, ia sudah cukup untuk menyenangkan hatinya. Oleh itu, berwaspadalah terhadap agama kamu.
Wahai manusia! Perbuatan menangguh tarikh bulan-bulan haram adalah penambahan kepada kekufuran. Orang-orang kafir menyesatkan orang ramai dengan perbuatan itu. Mereka menghalalkan bulan tersebut untuk setahun dan mengharamkannya untuk setahun yang lain dengan tujuan melakukan perkara-perkara yang Allah haramkan. Justeru itu, mereka menghalalkan perkara yang diharamkan Allah dan mengharamkan perkara yang dihalalkan Allah. Waktu telah berputar sebagaimana keadaan asalnya pada hari Allah
menciptakan langit dan bumi. Bilangan bulan di sisi Allah ialah 12 bulan. Empat bulan daripadanya adalah bulan haram: tiga bulan berturut-turut dan satu lagi ialah Rajab Mudhar yang berada antara Jamadil Akhir dengan Syaaban.
Wahai manusia! Kamu mempunyai hak ke atas isteri-isteri kamu dan mereka pula mempunyai hak ke atas kamu. Hak kamu ke atas mereka ialah mereka tidak boleh membenarkan sesiapa yang kamu benci (sama ada lelaki mahupun
wanita, mahram mahupun ajnabi) memasuki rumah kamu.
Kaum Mudhar amat memuliakan bulan Rajab. Oleh kerana itu, bulan tersebut dikaitkan dengan mereka. melakukan perkara keji. Sekiranya mereka melakukannya, Allah membenarkan kamu untuk meninggalkan tidur dengan mereka dan memukul mereka dengan pukulan yang tidak keras. Sekiranya mereka berhenti daripada perbuatan-perbuatan ini, mereka berhak mendapat rezeki dan pakaian yang baik. Terimalah pesanan aku untuk berbuat baik dengan wanita ini. Mereka adalah pembantu kamu. Mereka tidak memperolehi apa-apa bagi diri mereka. Kamu mengambil mereka sebagai amanah Allah serta menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah.
Fahamilah sabdaku ini, wahai manusia! Sesungguhnya aku telah
menyampaikan. Aku telah tinggalkan kepada kamu satu perkara yang jelas,jika kamu berpegang teguh dengannya, kamu tidak akan sesat selamalamanya: Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya.
Wahai manusia! Dengar dan fahamilah sabdaku. Kamu tahu bahawa setiap orang Islam saudara kepada orang Islam yang lain. Sesungguhnya orang Islam bersaudara. Milik saudaranya tidak halal bagi seseorang kecuali apa yang diberikannya dengan rela hati. Oleh itujangan kamu menzalimi diri-diri kamu. Ya Allah, adakah aku telah menyampaikan?"
khutbah ini dipetik daripada kitab SIRAH NABAWIYAH DURUS WA I'BAR oleh Ad-Doktor Mustafa As-Sibaie..
Alhamdulillah Allah masih memberi saya idea untuk mengarang walau hanya beberapa perkataan buat tatapan dan renungan semua yang melawat blog saya ni. Sesungguhnya saya juga mempunyai banyak kekurangan yang tidak dapat tidak perlu diperbetulkan. Moga orang yang sedar akan kesilapan saya dapat menegur dan memberi nasihat kepada saya. Jasa dan teguran kalian amat bermakna buat diri ini bagi memperbaiki segala kekurangan dalam meningkatkan lagi keimanan kepadaNya.
Di sini saya ingin menegur dan menasihati sesetengah pihak yang mungkin tanpa kita sedari, kita telah melakukan kesalahan. Muhasabahlah diri masing2 atas segala perbuatan, perkataan,niat dan tindak tanduk kita dalam segala genap aspek kehidupan. Saya ada berbual dengan seorang kawan dan dia menyatakan tentang ketidakpuasan hatinya tentang seorang pelajar agama yang mana telah menulis status tentang 'ikhtilat' tetapi tidak mengetahui maksud sebenar perkataan tersebut. Isu yang agak heboh diperkatakan dan dibincangkan dalam kalangan pelajar di Jordan ini.
Isu ini merupakan salah satu sub-topik ketika saya mengikuti program API iaitu Akses Pemikiran Islam baru2 ini di Irbid. Maaf untuk saya katakan bahawa pelajar di sini juga sebenarnya masih ada yang kurang kepahaman tentang isu ini. Mengapa saya katakan begini ialah kerana ketika saya berada di dalam 'group discussion' saya dapati kita pandai untuk bercakap dan melontarkan idea2 bernas tetapi dari segi pelaksanaan dan pemikiran atau fikrah itu sendiri masih ada sedikit ralat dan kurang jelas.
Bukanlah niat saya di sini untuk mengkritik sesiapa tetapi sebagai hamba yang kerdil dan diberikan akal, saya hanya berfikir dan terus berfikir dan saya dapati terdapat sesetengah pihak yang terlalu syadid atau keras menentang 'ikhtilat' ini sehinggakan segala perkara tidak dapat dilakukan. Dan ada juga yang terlalu mengambil ringan sehinggakan seperti tidak ada rasa malu dan maruah lagi apabila melakukan perkara2 di dalam konteks 'ikhtilat' ini. Sesungguhnya Islam mengajar kita mengambil yang 'mutawassod' iaitu dipertengahan. Ini kerana saya dapati terdapat sesetengah golongan yang mengambil jalan untuk memutuskan pertalian persahabatan dengan berlainan jantina kerana dikatakan 'ikhtilat' sedangkan ada perkara baik yang boleh dibincangkan atau urusan yang perlu diselesaikan. Apakah perkara ini betul atau tidak?
Menurut pandangan saya ianya bukan suatu tindakan yang bijak. Kadang2 kita boleh berkongsi pendapat dan pandangan dengan orang yang berlainan jantina. Kita semua sudah makruf dan tahu bahawasanya Allah menciptakan manusia ini pelbagai jenis dengan kemampuan dan kelebihan masing2. Cara kita berfikir juga sangatlah berbeza. Sekiranya perkara2 ilmiah juga kita tolak ketepi, adakah kita akan bangkit dan faham tentang sesuatu perkara yang bukan di dalam bidang kita?Ada orang pernah berkata "kita sesama jantina pun boleh jugak. kenape perlu gedik2 nk tnye lelaki." atau "alah...mengade2 la minah tu nk mintak tolong kat laki jugak...bukannye kwn2 perempuan tak boleh tolong." Saya ada jawapan bagi persoalan2 ini tetapi saya rase lebih baik anda2 semua berfikir sendiri sekiranya anda bersetuju dengan 'statement2' sedemikian kerana anda akan mendapat jawapannya sekiranya anda muhasabah semula kekurangan diri anda dan memahami tentang jantina anda sendiri. Dan yang paling penting anda faham tentang setiap ciptaan Allah di muka bumi ini. Keluarkan segala persoalan dan cuba anda jawab persoalan2 tersebut dan InsyaAllah anda akan lebih faham tentang apa yang sedang saya perkatakan.
Persoalan yang selalu bermain difikiran saya sekarang ini ialah apakah yang kita faham tentang 'ikhtilat' ini??Menurut apa yang saya fahami, ikhtilat ini berasal dari kalimah atau perkataan arab 'kholato' yang membawa makna percampuran. Boleh juga kita fahami dengan kata pergaulan iaitu pergaulan atau 'social life' kita bersama semua manusia di muka bumi ini. Perkara ini diharuskan di dalam Islam kerana manusia di ajar untuk hidup bermasyarakat. Percampuran yang salah adalah apabila kita melakukan perkara2 yang ditegah di dalam Islam seperti bertepuk tampar dengan orang yang belainan jantina dengan sengaja.
Bukanlah isu ini yang ingin saya bahaskan sebenarnya tetapi sejauh manakah kefahaman kita sebagai seorang pelajar agama dalam memahami istilah2 seperti ini. Kajilah Islam dan istilah2 ini sebelum menggunakannya supaya kita tidak akan tersalah tafsir makna2 yang dimaksudkan dan memberi kefahaman yang salah kepada orang lain sama ada mereka yang sama2 dengan kita dalam mempelajari dan memperjuangkan Islam apatah lagi yang langsung tidak ada ilmu tentang perkara2 tersebut. Saya sendiri akui susahnya bermain dengan istilah2 ini kerana saya sendiri berada dalam dunia itu. Sekiranya kita tidak memahami maksud istilah tersebut dengan sebetulnya, kita mungkin akan terpesong dan perkara yang paling ditakuti ialah sekiranya perkara2 tersebut boleh memesongkan akidah kita atau kita memesongkan akidah orang lain. Berat dosa yang bakal ditangung sekiranya perkara seperti ini berlaku kepada kita. Maka berwaspadalah apabila menggunakan kalimah atau istilah2 di dalam agama. Semoga Allah memberikan hidayahNya dan kefahamanNya kepada kita semua supaya kita dapat memeperbetulkan segala kesilapan dan menjadi hambaNya yang bertaqwa insyaAllah.