Monday, 5 December 2011

Jawapannya ada di sana..

Bismillah..

Indahnya hidup dalam Islam. Setiap masalah ada penyelesaiannya. Setiap kecelaruan ada penenangnya. Setiap yang berlaku ada penghujungnya. Allah tidak pernah membiarkan hambaNya tanpa petunjuk. Kerana Dia adalah Ar-Rahman yang sentiasa menjaga dan Ar-Razaq yang sentiasa melimpahkan rahmat kepada hamba-hambaNya.

Namun sedarkah kita akan nikmat ini? Apabila ada masalah kita ingat kepada Dia. Itu mujur jika kita ingat. Bagaimana pula nasib kawan-kawan kita yang tidak pernah sedar akan kewujudanNya? Bila berhadapan dengan masalah, mereka mencari jalan yang haram untuk menyelesaikannya. Mereka cuba untuk larikan diri dengan pelbagai cara yang dilarang oleh Allah. Mereka menjerumuskan diri ke dalam kancah kemusnahan dan penderitaan yang berpanjangan kerana serabut dengan masalah yang dihadapi. Dimanakah peranan kita dalam membantu mereka? Ayuhlah berfikir sejenak bagi mereka yang masih memerlukan kita. Yakinlah!! Selangkah kita membantu agama Allah, in syaa Allah beribu langkah Allah akan membantu urusan kita.

Baru-baru ini, aku disapa satu masalah dalam memikul satu tanggungjawab dan komitmen baru. Terasa diri tidak mampu kerana aku tahu setiap keputusan yang dibuat itu merupakan amanah buat diriku. Dalam mencari-cari jawapan, aku selak helaian kalamNya bagi mencari ketenangan hati dan jiwa. Nah! Aku ditegur olehNya. Betapa aku mementingkan diri tanpa memikirkan sahabat-sahabat aku yang lain. FirmanNya :


Katakanlah : "Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhanmu." Bagi orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu luas. Hanya orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batas.

Ketika aku membaca dan menghayati ayat ini, aku teringat satu ayat lain yang mana Allah telah berkata :


Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah (bertawakal), maka Allah cukupkan keperluannya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.

Dia telah menjanjikan jalan keluar sekiranya kita bertaqwa kepadaNya. Mengapa mesti takut dan risau lagi dengan dugaan dan rintangan dihadapan? Masih tidak cukup lagikah Allah sebagai tempat pergantungan setelah lafaz syahadah terlafaz dari bibir? Tatkala itu juga air mata menitis menuruni pipiku. Rasa diri sangat bersalah dengan Allah kerana lupa akan janjiNya. Kerana lupa aku masih ada Dia tatkala masalah datang melanda diri. Kerana terlupa kemampuan dan kekuatan itu datangnya dari Dia. Tanpa Dia, tidak mungkin aku mampu untuk melakukan apa-apa pun. Justeru, mengapa aku masih risau dan takut untuk menerima tanggungjawab itu. Tidak cukup yakinkah aku dengan Dia sedang perkara yang ingin dilakukan itu untuk manfaat orang ramai juga.

Dan akhirnya setelah aku berfikir sejenak, aku dapati itulah solusi bagi masalah yang sedang aku hadapi. Allah telah menegur perbuatan dan tindak-tanduk aku. Dalam hidup ini, sememangnya banyak ujian yang harus kita tempuhi. Akan tetapi segala jawapannya ada di dalam Kitabullah. Selaklah helaiannya. Renungkanlah tiap bait ayat yang terukir. Dengarlah kata-kata Allah yang keluar darinya. Ada terselit berjuta hikmah dan panduan buat kita. Banyak motivasi dan kata-kata hebat yang boleh kita dapati tanpa perlu pada duit ratusan ringgit untuk mendapatkannya. Marilah kita sama-sama rajinkan diri membaca Al-Quran dan bertadabbur, bukan untuk sesiapa tetapi untuk kebaikan dan keperluan diri kita juga. Wallahua'lam.


3 comments:

Unknown said...

assalam cik naz...

moga2 di akhir tahun pengajian cik naz di bumi Allah jordan, sntiasa tenang dan dalam rahmatNYa.. hadapi cabaran2 dgn tenang dan tawadhu'..mg2 segala urusanmu dipermudahkanNya.. amiin

salam rindu,...

beenazirah said...

waalaikumussalam kak ayu..

aminn..in syaa Allah..doakn sy ye..hrp dapat grad dgn baik tanpa masalah..hehe..moga Allah permudhkn urusan akk jugak..aminn2!!!

wslm sayang dr sy,..

rindumu ku sambut dengan senyuman..
tanda dikau sentiasa di ingatan..
terima kasih banyak kak atas semuanya..^__^

Anonymous said...

UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT