Wednesday, 18 March 2009

Nasihat Seorang Ayah ( Luqman Ul Hakim ) Kepada Anaknya

Luqman ul Hakim adalah seorang ahli hikmat pada zaman Nabi Daud as. Namanya ini diabadikan oleh Allah swt dalam Al-Quran dan dijadikan sebagai nama dari satu surah.

Luqman berkata kepada anaknya pada waktu memberi nasihat :

  1. Wahai anakku! Apabila perutmu penuh makanan ( kenyang ) maka matilah fikiran dan hikmah kebijaksanaanmu, semua anggota badan malas buat beribadah, dan hilanglah kebersihan hati dan kehalusannya, di mana dengan hati yang bersih dan halus akan tercapai kenikmatan bermunajat ( menghadap Allah ) dan manfaat berzikir ( ingat kepada Allah ).
  2. Wahai anakku! Jika waktu engkau kecil rajin belajar dan tekun menuntut ilmu sebanyak-banyaknya, tentu kelak pada waktu dewasa ( hari tua ) akan memetik buahnya yang engkau nikmati.
  3. Wahai anakku! Ikutilah engkau dalam iringan menghantar jenazah dan jangan ikuti dalam jamuan perkahwinan keran ajanazah itu dapat mengingatkan engkau akan kesudahan dari hidupmu di dunia yang fana ini, sedang perkahwinan akan membangkitkan nafsu berahimu dan senang akan kehidupan dunia kelak.
  4. Wahai anakku! Aku sudah pernah memikul batu-batu besar dan mengangkat besi yang berat-berat, akan tetapi aku tidak pernah merasakan sesuatu yang lebih berat daripada tenaga yang buruk perangai. Aku sudah pernah merasa segala makanan dan minuman, jamu dan ubat yang pahit-pahit, akan tetapi aku belum pernah merasakan sesuatu yang lebih pahit dari kemiskinan dan kehinaan. Dan aku sudah pernah menderita dalam macam-macam kesusahan dan kepayahan, akan tetapi belum pernah aku mengalami penderitaan yang lebih susah dan lebih payah daripada menanggung hutang.
  5. Wahai anakku! Sepanjang hidupku, aku hanya dapat memilih 8 kalimah dari pusara para Nabi yang lalu, iaitu sabda mereka :-

    • Apabila engkau sedang solah beribadah kepada Allah swt. maka jagalah baik-baik fikiranmu.
    • Apabila engkau berada di rumah orang lain, maka jagalah matamu ( pandanganmu )
    • Apabila engkau berada di majlis, maka jagalah lidahmu ( percakapanmu )
    • Apabila engkau berada di jamuan, maka jagalah perangaimu.
    • Ingatlah kepada Allah swt .
    • Ingatlah akan mati.
    • Lupakan budi baikmu terhadap orang lain.
    • Lupakan semua kesalahan orang lain terhadap dirimu