Wednesday, 6 June 2012

~ Ahli Gerakan Islam Perlu Tahu Uslub Dakwah ~



oleh : Ustaz Zainudin Hashim 


Perbincangan ini adalah mengenai keperluan anggota-anggota jemaah mengetahui selok-belok kaedah yang berkesan bagi menyampaikan mesej dakwah, sama ada di kalangan saudara-saudara seagama, ataupun kepada mereka yang bukan Islam. Ia lebih dikenali dalam konteks dakwah sebagai 'uslub dakwah' atau gaya, pendekatan, cara, kaedah dan sebagainya.


Ini penting kerana dengan memelihara uslub ini akan lebih menceriakan arena dakwah, kerana ia lebih memfokuskan kepada golongan sasaran, serta menentukan sama ada dakwah yang dijalankan itu benar-benar menepati acuan, kaedah atau sebaliknya matlamat jangka panjang dan pendek, ia bergantung kepada sejauhmana penerapan itu dibuat.


Menurut golongan para pendakwah atau daie, kejayaan atau keberkesanan dakwah yang dilakukan oleh pendakwah, ada kaitan dengan pengamalan seseorang pendakwah yang tersirat dalam ciri-ciri yang disebutkan sebelum ini.


Antara lain ketaatan kepada pemimpin, menjaga kerahsiaan, memperkasa diri dengan amalan-amalan Islam seperti memberi perhatian kepada pengukuhan ilmu-ilmu alat, membudayakan pembacaan al-Quran, memastikan isteri dan anak perempuan menutup aurat, mewajibkan perkara sunat untuk diri sendiri, tidak melaga-lagakan pemimpin, menjaga solat berjemaah, memimpin pertubuhan, mampu kendali majlis keramaian atau usrah, menepati janji dan tidak merokok.


Pada masa yang sama juga, pendakwah khususnya di kalangan anggota gerakan Islam meletakkan perkara-perkara berikut sebagai asas kepada uslub dakwah:


1. Berhikmah: iaitu meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya, ia disaring daripada firman Allah SWT menerusi ayat 125 urah an-Nahl yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik."

Hikmah yang dimaksudkan dalam ayat di atas mengandungi pelbagai tujuan yang boleh diselaraskan kepada uslub dakwah, antaranya:

a) Menghormati kotak pemikiran golongan sasaran, maknanya pendakwah perlu melihat tahap mentaliti mereka sebelum menyampaikan sesuatu idea, ditakuti jika tidak sampai apa yang diutarakan, berkemungkinan besar akan menjadi sia-sia, kerana baginda Rasulullah s.a.w. ada menegaskan bahawa: "Bercakaplah kepada orang ramai menurut tahap cara berfikir mereka."

b) Menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami dengan mengelak bahasa bunga yang merumitkan golongan sasaran atau menggunakan bahasa secara berterus-terang hingga dapat digarap dengan mudah.

c) Memilih waktu yang sesuai untuk bercakap pada perkara berhubung Islam atau dakwah, ia disandarkan kepada satu peristiwa yang pernah terjadi pada Abdullah bin Mas'ud (sahabat Nabi), di mana beliau sering bercakap tentang Islam pada setiap hari Khamis, salah seorang pendengar setianya bertnya, alangkah bagusnya jika engkau dapat bercakap tentang Islam setiap hari wahai Ibnu Mas'ud, beliau menjawab; aku tidak mahu berbuat demikian bimbang ia akan membosankan kamu semua, aku berbuat demikian sebagai meneladani apa yang pernah dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w. ke atas kami. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

d) Mengehadkan masa ketika bercakap - iaitu pendakwah tidak meleret-leret ketika menyampaikan pandangannya tentang sesuatu topik, kerana boleh jadi yang mendengarnya seorang yang sakit, orang tua atau yang mempunyai keperluan lain, lebih-lebih lagi ketika menyampaikan khutbah para jemaah tidak boleh balik awal sebelum solat dilaksanakan dan sebagainya, Rasulullah s.a.w. bila berkhutbah menggunakan pendekatan yang sederhana dan segera agar tidak menyebabkan jemaah lama menunggu.



2. Nasihat yang baik: Iaitu satu nasihat atau peringatan yang boleh melunakkan hati-hati manusia yang keras dengan amalan ahli dunia yang lupakan akhirat khususnya pada hari ini, di mana ramai manusia yang lebih cenderung kepada aspek sukan dan hiburan keterlaluan hingga boleh meninggalkan tugas utama sebagai Muslim/Muslimah iaitu solat fardu lima waktu, begitu juga pendakwah adalah disaran untuk memperbanyak mengingatkan manusia tentang dosa, pahala, syurga, neraka, balasan baik dan buruk. Ia adalah bertujuan untuk mencairkan manusia.

Pendakwah atau daie perlu memelihara perkara berikut:

* Ringkas yang berkesan dan tidak menjemukan penyampaian.

* Menghimpunkan antara perkara baik dan buruk untuk difikirkan.

* Memperbaykan sebutan mengenai nikmat Allah ke atas manusia.

* Menyediakan jalan untuk menuju kesempurnaan dalam hidup di dunia dan akhirat.



3. Berbahas dengan cara yang baik: Berbahas adalah salah satu wasilah atau pendekatan dalam menyampaikan sesuatu hujah, adakalanya ia bersifat mulia dan pada ketika yang lain pula bersifat buruk, ia bergantung kepada sejauh mana cara berbahas tanpa mengikut aliran emosi, berbahas dengan cara mulia ada disebut dalam ayat di atas, surah an-Nahl 125 maksudnya: "Berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik."

Ada pun berbahas yang cenderung kepada sifat tercela disebut Allah dalam surah al-Haj ayat 8 maksudnya: "Dan ada di antara manusia yang membantah dalam perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran."



4. Berbahas dengan cara yang mulia berdasarkan elemen terbaik yang digunakan oleh pendakwah, iaitu mengemukakan hujah mudah tetapi benar yang boleh membuka minda manusia seperti yang ditegaskan Allah mengenai kisah Nabi Ibrahim a.s. yang berdialog dengan kaumnya, di mana kisah itu dipaparkan menerusi ayat 258 surah al-Baqarah maksudnya: "Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah yang menghidupkan dan yang mematikan," ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat?" maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim."

Pendakwah boleh juga mengambil inisiatif dengan menggunakan pendekatan al-Quran bagi menguatkan hujahnya ketika berbahas atau berdialog dengan golongan sasaran, apatah lagi mereka yang agak degil dan keras kepala.

Ayat 35-37 surah at-Tur boleh dijadikan modal berdakwah, firman Allah maksudnya: "(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri? (35). Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (sudah tentu tidak!) bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya). (36) Adakah pada tangan mereka perbendaharaan Tuhanmu (sehingga mereka boleh memberi atau menahan sesuatu nikmat atau pangkat), atau merekalah yang berkuasa mentadbirkan segala-galanya?(37)"

Pendekatan dakwah melalui kisah teladan dalam al-Quran atau pada Sirah Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya kisah-kisah benar yang dipaparkan dalam al-Quran sebenarnya mampu menarik minat golongan sasaran kepada Islam, kerana ia bukanlah kisah dongengan, tetapi kisah benar yang dikisahkan Allah Yang Maha Benar untuk menjadi bahan renungan, kesedaran dan membuka minda untuk berubah.

Sebagai contoh kisah yang dipaparkan melalui ayat 259 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Atau (tidakkah engkau rasa pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: "Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?" Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama 100 tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: "Berapa lama engkau tinggal (di sini)?" Dia menjawab: "Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari." Allah berfirman: "(tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama 100 tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging" Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: "Sekarang aku mengetahuiNya (dengan yakin), Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Kesimpulan daripada ayat di atas, bahawa Allah SWT menganjurkan kepada manusia untuk melancong (bukan tujuan maksiat) bagi melihat kebesaran Allah SWT, penting untuk memikirkan pada bahan-bahan ciptaan Allah di muka bumi, menentukan aspek kematian dan kebangkitan yang pasti berlaku, penjelasan mengenai tempoh mati dan hidup tidak boleh dikiaskan dengan kehidupan di dunia, membuktikan kekuasaan Allah dalam melakukan apa sahaja walaupun tidak dapat diterima oleh akal fikiran manusia yang terbatas.



5. Menggunakan teknik soal jawab ketika berdakwah: Penggunaan teknik soal jawab dalam berdakwah, dianggap sebagai satu cara terbaik, kerana ia disandarkan kepada cerita dalam al-Quran, di mana Allah SWT bertanya kepada manusia dalam banyak yang bersifat soalan yang perlu dijawab oleh manusia, antara ayat-ayat berkenaan ialah:

* Ayat 1-3 surah al-Ma'un: "Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? (1). Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, (2) Dan dia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.(3)"

* Surah al-Fil: "Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? (1) Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? (2) Dan ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan,(3) Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, (4) Lalu ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.(5)"



6. Membawa contoh-contoh perumpamaan atau bidalan ketika berdakwah: Penguasaan tentang ayat-ayat al-Quran menjadi keutamaan kepada pendakwah, justeru mereka boleh menggunakan ayat-ayat bersifat perumpamaan seperti yang disebut oleh al-Quran menerusi ayat 261 surah al-Baqarah: "Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya."


Kesimpulannya, apabila uslub dakwah yang disyorkan di atas dapat direnungi bersama oleh mereka yang bergelar pendakwah, khususnya yang menjadi anggota gerakan Islam, insya-Allah ia akan menjadi satu pendekatan yang mampu mencairkan manusia yang cemderung kepada kebenaran Islam. Selamat Mencuba. 

Monday, 5 December 2011

Jawapannya ada di sana..

Bismillah..

Indahnya hidup dalam Islam. Setiap masalah ada penyelesaiannya. Setiap kecelaruan ada penenangnya. Setiap yang berlaku ada penghujungnya. Allah tidak pernah membiarkan hambaNya tanpa petunjuk. Kerana Dia adalah Ar-Rahman yang sentiasa menjaga dan Ar-Razaq yang sentiasa melimpahkan rahmat kepada hamba-hambaNya.

Namun sedarkah kita akan nikmat ini? Apabila ada masalah kita ingat kepada Dia. Itu mujur jika kita ingat. Bagaimana pula nasib kawan-kawan kita yang tidak pernah sedar akan kewujudanNya? Bila berhadapan dengan masalah, mereka mencari jalan yang haram untuk menyelesaikannya. Mereka cuba untuk larikan diri dengan pelbagai cara yang dilarang oleh Allah. Mereka menjerumuskan diri ke dalam kancah kemusnahan dan penderitaan yang berpanjangan kerana serabut dengan masalah yang dihadapi. Dimanakah peranan kita dalam membantu mereka? Ayuhlah berfikir sejenak bagi mereka yang masih memerlukan kita. Yakinlah!! Selangkah kita membantu agama Allah, in syaa Allah beribu langkah Allah akan membantu urusan kita.

Baru-baru ini, aku disapa satu masalah dalam memikul satu tanggungjawab dan komitmen baru. Terasa diri tidak mampu kerana aku tahu setiap keputusan yang dibuat itu merupakan amanah buat diriku. Dalam mencari-cari jawapan, aku selak helaian kalamNya bagi mencari ketenangan hati dan jiwa. Nah! Aku ditegur olehNya. Betapa aku mementingkan diri tanpa memikirkan sahabat-sahabat aku yang lain. FirmanNya :


Katakanlah : "Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhanmu." Bagi orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu luas. Hanya orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batas.

Ketika aku membaca dan menghayati ayat ini, aku teringat satu ayat lain yang mana Allah telah berkata :


Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah (bertawakal), maka Allah cukupkan keperluannya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.

Dia telah menjanjikan jalan keluar sekiranya kita bertaqwa kepadaNya. Mengapa mesti takut dan risau lagi dengan dugaan dan rintangan dihadapan? Masih tidak cukup lagikah Allah sebagai tempat pergantungan setelah lafaz syahadah terlafaz dari bibir? Tatkala itu juga air mata menitis menuruni pipiku. Rasa diri sangat bersalah dengan Allah kerana lupa akan janjiNya. Kerana lupa aku masih ada Dia tatkala masalah datang melanda diri. Kerana terlupa kemampuan dan kekuatan itu datangnya dari Dia. Tanpa Dia, tidak mungkin aku mampu untuk melakukan apa-apa pun. Justeru, mengapa aku masih risau dan takut untuk menerima tanggungjawab itu. Tidak cukup yakinkah aku dengan Dia sedang perkara yang ingin dilakukan itu untuk manfaat orang ramai juga.

Dan akhirnya setelah aku berfikir sejenak, aku dapati itulah solusi bagi masalah yang sedang aku hadapi. Allah telah menegur perbuatan dan tindak-tanduk aku. Dalam hidup ini, sememangnya banyak ujian yang harus kita tempuhi. Akan tetapi segala jawapannya ada di dalam Kitabullah. Selaklah helaiannya. Renungkanlah tiap bait ayat yang terukir. Dengarlah kata-kata Allah yang keluar darinya. Ada terselit berjuta hikmah dan panduan buat kita. Banyak motivasi dan kata-kata hebat yang boleh kita dapati tanpa perlu pada duit ratusan ringgit untuk mendapatkannya. Marilah kita sama-sama rajinkan diri membaca Al-Quran dan bertadabbur, bukan untuk sesiapa tetapi untuk kebaikan dan keperluan diri kita juga. Wallahua'lam.


Saturday, 12 November 2011

~Tarbiyah is the beginning of ISLAM~

Bismillah..
Assalamualaikum wbt..
Alhamdulillah akhirnya setelah hampir 6 bulan meninggalkan dunia penulisan ni, Allah berikan kesempatan hari ni untuk update semula apa yang telah ditinggalkan. Terleka dengan kerja dan tugasan dalam kehidupan seharian sehingga terlupa tugasan memberikan manfaat kepada orang lain melalui bentuk penulisan. Apapun, alhamdulillah syukur kepada Allah kerana masih lagi diberikan kesempatan berfikir untuk memenuhkan ruangan yang sentiasa tersedia ada ini untuk menyampaikan dan berkongsi apa yang diketahui dan dirasai bersama dengan orang lain.

Point saya pada kali ini adalah berkaitan dengan tarbiyah. Apa itu tarbiyah?? Ramai orang yang merasai dan memahami erti tarbiyah ini akan tetapi, amat mendukacitakan apabila tarbiyah itu hanya dipandang remeh dan terhad pada sesetangah perkara sahaja. Apa yang ingin saya maksudkan adalah ramai yang ditarbiyah tetapi lagak caranya tidak menunjukkan seperti itu. Makin lama ditarbiyah makin lupa akan tanggungjawab yang dipikul. Bukanlah saya mencari kesempurnaan pada diri setiap orang yang ditarbiyah itu kerana saya sendiri faham dan tahu hakikat ketidak sempurnaan manusia di dalam alam ini. Akan tetapi, orang yang ditarbiyah itu sepatutnya lebih lagi mengetahui dan memahami kehendak dan perintah Islam itu. 

Adakah tarbiyah tertumpu hanya pada perkara ukhrawi?? Adakah Islam tidak langsung memandang dunia, alam yang sedang kita diami?? Bukankah dunia ini satu tempat persinggahan yang perlu kita jagai sebelum kita dihantar ke alam yang lain yang telah dijanjikan Ilahi?? 

Setiap orang mempunyai hak terhadap diri kita. Sebagai orang yang ditarbiyah seharusnya memberikan hak itu kepada setiap yang disekelilingnya. Antara contoh hak yang saya katakan disini adalah seperti hak kepada diri sendiri atau kerja kita, hak kepada sahabat, keluarga , dan umumnya orang disekeliling kita iaitu masyarakat yang hidup bersama kita di alam ini. Tarbiyah bukan hanya duduk bersama di dalam satu halaqah, akan tetapi tarbiyah itu dapat diperolehi dari setiap sudut dan hembusan nafas kita ini. Pandanglah sekeliling dan hayatilah apa yang telah Allah berikan pada kita. Itu juga tarbiyah dari Allah. Kenanglah tiap kerja dan amalan yang telah kita lakukan. Itu juga tarbiyah dari Allah. Banyak tarbiyah yang telah Allah ajarkan dan tunjukkan kepada kita. Maka renungilah setiap perkara yang pernah terjadi dalam hidup kita, in syaa Allah ada terselit rahmat tarbiyah di dalamnya. Selami masa lalu dan kini yang sedang kita jalani, pasti nikmat tarbiyah dapat kita rasai.

Jangan kita lupa, setiap amanah dan kerja yang kita lakukan seharusnya semuanya adalah kerana Allah. Jangan kita lalai dan leka sehingga tarbiyah yang kita anggap tarbiyah itu memakan diri kita kerana diri kita tidak berjaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipikul. Orang yang mendapat tarbiyah hatinya lembut dan bersih, dan kerana itulah dia dapat membawa dan memikul amanah Tuhan untuk menyampaikan agama Allah itu sendiri. Kita memproses diri menjadi yang terbaik bagi melahirkan generasi yang terbaik juga. Itu merupakan satu kelebihan yang kita dapat melalui pentarbiyahan agama yang telah disampaikan oleh Rasul kita Muhammad S.A.W. Semoga tarbiyah yang kita semua sedang hadapi di muka bumi ini sentiasa dalam redho Ilahi. Jadilah pentarbiyah yang mampu menggegarkan dunia Islami yang telah lama sepi daripada khalifah yang diidami seperti suatu masa silam dahulu yang hanya mampu dikenangi buat masa kini, namun tidak mustahil untuk direalisasikan menjadi satu mercu tanda kemenangan yang pasti. Wallahua'lam.

Tuesday, 24 May 2011

Islam Untuk Semua..^^,

Bismillah..
Assalamualikum wbt..
Alhamdulillah masih diberi kesempatan menulis olehNya biarpun agak busy sedikit dalam fatrah imtihan ni. Bila difikir-fikirkan semula, bila kita inginkan sesuatu tu, pasti Allah berikan. Itulah sifat pemurah Dia kepada hamba-hambaNya. Teringat suatu ketika dahulu tika mana masih jahil tentang Islam walaupun Islam itu agama yang dianuti sejak lahir lagi. Rasa seperti tertampar dengan ilmu dan fikrah baru tentang Islam. Rasa seperti baru menganuti agama mulia ini.Rasa seperti baru mengenali Allah dan agamaNya. Ya Allah, ampunilah kejahilan dan kesilapan-kesilapan kami. Engkaulah Yang Maha Pengampun dan Penerima Taubat hamba-hambaMu.

Alhamdulillah setelah beberapa tahun belajar tentang agama, terasa lebih terbuka dengan kefahaman Islam. Islam agama yang mudah tapi bukan bermaksud boleh diambil mudah. Kita sebagai seorang yang bergelar muslim seharusnya menunjukkan contoh dan akhlak yang baik. Tunjukkan yang Islam tu bukan agama yang menyusahkan dan bukan juga agama yang memaksa. Jangan jadikan diri kita fitnah besar kepada Islam. Terasa diri banyak menunjukkan akhlak yang buruk dan tidak baik kepada orang ramai. Istighfar atas dosa-dosa lalu. Ya Allah, jadikanlah kami golongan yang beriman dan beramal soleh. Bukan golongan yang membawa keburukan kepada agama Mu. Nastaghfirullah..

Beberapa hari yang lepas, saya disapa oleh seorang kenalan lama di sekolah dahulu. Dia menceritakan tentang surau dikawasan dia belajar. Sedih dan pilu rasa hati bila mana saya dengar yang mana di surau itu terdapat sekumpulan orang yang membawa usrah atau terdapat liqa' tetapi tidak ada seorang pun dari ahli liqa' itu yang memanggil orang lain untuk mengikutinya walau terdapat orang lain di dalam surau itu seolah-olah Islam itu hanya untuk yang mereka yang dikenali sahaja sampaikan dia hanya mampu mencuri dengar ilmu-ilmu agama yang disampaikan mereka. Wallahua'lam akan kesohihan yang tidak mengajak orang lain tu. Mungkin juga mereka yang terlepas dengar tentang liqo' yang diadakan. Namun, kawan saya itu bernasib baik kerana dia cuba untuk menebalkan mukanya berada lama disitu semata-mata untuk mendengar. Tapi alangkah ruginya sekiranya ramai lagi yang mahukan Islam tapi dengan perlakuan kita menyebabkan makin ramai yang menjauhi kita. Rupanya perkara baik juga boleh membuatkan orang memandang buruk kepada agama kita. Ayuhlah kita sama-sama fikirkan, muhasabah semula setiap yang kita lakukan. Kadang kita tidak sedar apa yang kita lakukan itu merupakan satu kesilapan besar buat agama ini. Kerana itulah Allah menyuruh kita agar amar maaruf dan nahi mungkar serta berpesan pada kebenaran dan kesabaran.

Dan untuk titipan terakhir post kali ni, terasa banyak perkara yang masih tidak dilakukan memandangkan masih banyak ummat Islam yang berada di alam kejahilan. Bangunlah wahai anak-anak muda daripada lenamu yang panjang. Pandanglah dunia dengan pandangan Islam. Jadikan agama sebagai benteng kita daripada melakukan kejahatan. Ingatlah yang Allah sentiasa memerhatikan kita di bumi ini. Tidak malukah kita membiarkan Tuan kita melihat kita dalam keadaan yang buruk?? Tidak malukah kita melanggar kata Tuhan yang telah memberikan kita kehidupan di muka bumi ini?? Ayuhlah semua, lakukan transformasi diri demi Tuhan Pemberi Rezeki, juga kehidupan yang pasti.

Jom sama-sama kita renungkan hadith ni..

عَنْ النَّوَّاسِ بنِ سَمْعَانَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى الله عليه وسلم قَالَ : الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَاْلإِثْمُ مَا حَاكَ فِي نَفْسِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ . [رَوَاهُ مُسْلِم] .
وَعَنْ وَابِصَةَ بْنِ مَعْبَد رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : أَتَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : جِئْتَ تَسْألُ عَنِ الْبِرِّ قُلْتُ : نَعَمْ، قَالَ : اِسْتَفْتِ قَلْبَكَ، الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَاطْمَأَنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ، وَاْلإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ، وَإِنْ أَفْتَاكَ النَّاسُ وَأَفْتَوْكَ "
[حديث حسن رويناه في مسندي الإمامين أحمد بن حنبل والدارمي بإسناد حسن]
 mafhumnya :
Dari Nawwas bin Sam’an radhiallahuanhu, dari Rasulullah shollallohu ‘alaihi wa sallam beliau bersabda : “Kebaikan adalah akhlak yang baik, dan dosa adalah apa yang terasa mengaggu jiwamu dan engkau tidak suka jika diketahui  manusia “
(Riwayat Muslim)
Dan dari Wabishah bin Ma’bad radhiallahuanhu dia berkata : Saya mendatangi Rasulullah Shallallahu'alaihi wasallam, lalu beliau bersabda : Engkau datang untuk menanyakan kebaikan ?, saya menjwab : Ya. Beliau bersabda : Mintalah pendapat dari hatimu, kebaikan adalah apa yang jiwa dan hati tenang karenanya, dan dosa adalah apa yang terasa mengganggu jiwa dan menimbulkan keragu-raguan dalam dada, meskipun orang-orang memberi fatwa kepadamu dan mereka membenarkannya.
(Hadits hasan kami riwayatkan dari dua musnad Imam Ahmad bin Hanbal dan Ad Darimi dengan sanad yang hasan)

Wednesday, 11 May 2011

~Khas buat adik-adikku!!~

Bismillah..

Assalamualaikum. Alhamdulillah atas segalanya. Selawat dan salam buat junjungan mulia Muhammad S.A.W. Hari ni aku berasa sangat sedih dan hiba bila mana membaca dan melihat segala aktiviti dan pekerjaan yang sedang dilakukan kawan-kawan, rakan sebaya, pemuda-pemudi juga adik2 yang comel di negara sana. Dengan pertubuhan kumpulan2 yang tiada motif, isu2 sosial yang kian meluas, juga kehidupan yang telah jauh lari daripada arus agama. Sedihnya apabila melihat orang lain masih belum mendapat pentarbiyahan seperti mana telah aku dapati. Sedih kerana melihat mereka terus alpa dan leka dengan permainan dunia. Sedih kerana seperti tiada tujuan dan arah hidup mereka. Tuhan diketepikan. Agama diabaikan. 

Istighfar di dalam hati mengenangkan adik-adikku yang sedang meningkat remaja moga mereka jauh daripada perkara-perkara seperti itu. Aku rasa sangat takut sekiranya Allah memalingkan hati-hati mereka. Sekiranya mereka tidak kuat dalam menghadapi hari-hari yang dijalani. Sekiranya mereka makin jauh daripada kehidupan beragama. Hanya doa yang mampu aku hulurkan ketika ini. Kadang rasa bersalah kerana berada jauh daripada mereka sedang mereka memerlukan. Maaf atas ketidakmampuan dan ketidaksempurnaan. Bukanlah niat menjauhi tetapi mencari dan menambah supaya boleh lebih memberi kelak. Risau hati bila mengenangkan siapa yang mereka kenali dan rapati. Bimbang andai mereka tersilap langkah dan arah. Risau mereka sesat dalam perjalanan kehidupan. 

Namun aku tahu sebaik-baik sandaran adalah Dia. Dialah yang menjaga dan sentiasa melindungi mereka biarpun aku hanya sejengkal berhampiran mereka. Dialah yang sentiasa memberi dan mengurniakan kepada mereka kekuatan dan kesabaran biarpun aku punya kekayaan. Dialah juga yang akan sentiasa mengawasi dan memerhati biarpun aku berada di depan mata mereka. Kerana itu aku bahagia ada Dia bersama. Kerana itu aku yakin untuk meninggalkan mereka buat sementara.

Ya Allah, aku takut akan azabMu.
Aku hiba melihat keingkaran mereka kepadaMu.
Aku benci melihat tanpa melakukan apa-apa.
Namun, aku terasa sangat lemah.
Aku adalah seorang nazira yang sepatutnya berani pada perkara yang benar.
Bukan berdiam diri tanpa kata sepatah.
Bagaimana harus aku lakukan ya Fattah..

Ya Allah, Engkau peliharalah keluargaku daripada segala bentuk kebodohan.
Tunjukkanlah kepada mereka jalanMu.
Pimpinlah mereka..Bimbinglah mereka..
Jangan Engkau biarkan mereka dalam kesesatan.
Jangan Engkau biarkan mereka dalam kegelapan.
Hadirkanlah cahaya buat mereka.
Tunjukilah mereka jalan yang Engkau redhoi Ya Hadi..

Sesungguhnya aku benar-benar mencintai mereka.

Thursday, 28 April 2011

Sampai Bila Harus Ku Lari..@_@


Sampai bila harus ku lari Ya ALLAH,
Besarnya ujianMu untukku,
Apakah yang harus aku lakukan,
Langkah manakah yang menjadi pilihan,
Aku perlukan jawapan,
Aku perlukan pengertian,
Kerdilnya aku dihadapanMu,
Tidak mampu memikul bebanan,
Tidak mampu memikul tanggungjawab,
Tidak mampu memikul amanah,
Sedang tugasku adalah menyampaikan,
Walau hanya sepotong ayat.

Sampai bila harus ku lari Ya Allah,
Lemahnya diriku,
Sedang sahabat dulu sangat teguh dan kuat,
Menegakkan islam tanpa gentar,
Biar diseksa jasadiah,
Biar dipanah emosi,
Biar disisih tersayang,
Kerana yakinnya pada janjiMu,
Fahamnya pada sebuah perjuangan,
Cintanya diluar batasan.

Sampai bila harus ku lari Ya Allah,
Engkau telah berikanku jalan yang terbaik,
Namun aku tidak pandai dalam membuat pilihan,
Kesemua jalan itu membawa aku kepadaMu,
Kesemua jalan itu membimbingku dekat denganMu,
Kesemua jalan itu menyedarkan aku tentang siapakah aku,
Pertimbangan bagaimana lagikah yg harus aku gunakan,
Pendirian bagaimana pulakah yang harus ku sematkan,
Bantulah aku Ya Alim,
Kerana Engkau mengetahui segalanya,
Sedang aku hamba yg keliru dan alpa.

Sampai bila harus ku lari Ya Allah,
Istikharoh mengiringi hari-hari,
Taubat memohon keampunan diri,
Tahajud penenang di malam hari,
Lalu dhuha menyapa dini hari,
Namun jawapannya tetap belum ku temui,
atau adakah aku yg menjauhi,
Tamak dgn pilihan yg diberi,
Kerana nilainya menyinari sanubari,
Kerana nilainya menyentuh hati,
Kerana nilainya tidak pernah berhenti,
Mencari-cari siapa yg menghendaki,
Sebagai pembawa agama ilahi,
dan penyebar risalah suci.

Sampai bila harus ku lari Ya Allah.

Tuesday, 26 April 2011

~Gentarlah Diri, Kiamat Bakal Menyapamu.~

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah syukur atas nikmat dan pinjamanNya yang masih diberikan sehingga detik ini terutamanya nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam kepada junjungan besar Muhammad S.A.W. yang telah berusaha gigih menyampaikan Islam sehingga agama ini sampai kepada kita pada hari ini. Agama mulia yang juga diperintahkan Allah kepada kita untuk menyambung dan meneruskan perjuangan itu hingga sampai ke titisan darah dan hembusan nafas yang terakhir walau dengan apa cara sekalipun.

Alhamdulillah Dia menganugerahkan kepada aku satu kefahaman bahawa hidup ini perlu diteruskan walau hanya ujian yang perlu dihadapi di hadapan. Jangan pernah mengeluh dan berputus asa dari rahmat dan hidayahNya kerana cintaNya amat luas. Dia tidak akan pernah meninggalkan hambaNya terkapai-kapai mencari jalan seorang diri. Cuma adakah hambaNya itu sedar akan hakikat itu. Ya Allah, ampunilah kami. FirmanNya dalam surah Ar-Rahman :-
                  
{ * الرَّحْمَنُ * عَلَّمَ الْقُرْآنَ * خَلَقَ الْإِنْسَانَ * عَلَّمَهُ الْبَيَانَ } 

Mafhumnya : [1] (Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.
[2] Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran.
[3] Dia lah yang telah menciptakan manusia.
[4] Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan. 

Tugas kita di muka bumi ini sebagai khalifah. Kita telah diberi amanah dan tanggungjawab untuk menyebarkan Islam. Kita telah ditunjukkan dengan cara-cara bagaimana untuk berdakwah. Kita dipamerkan juga dengan contoh2 para nabi yang telah bersusah payah menyeru kaum2 mereka dengan matlamat dan tujuan yang jelas iaitu mengesakan Allah. Itulah tugas kita. Sama seperti Nabi-Nabi terdahulu. Ujian dan cabaran dalam berdakwah itu satu perkara yang lazim. Banyak kisah para nabi di dalam Kitab suci Al-Quran yang boleh kita jadikan penguat tatkala rasa lemah menyapa diri. Terlalu banyak kata-kata pujukan dari Tuhan tatkala kesedihan mengiringi hari kita. Semuanya telah Dia sediakan untuk kita. Semuanya telah Dia berikan kepada kita. Lihatlah betapa kasih dan cintaNya Dia kepada kita. Tapi banyak manakah larangan Dia yang telah kita lakukan? Banyak manakah tugasan yang Dia berikan telah kita siapkan? Banyak manakah cinta kita kepada Dia? Banyak manakah lagi kemungkaran yang ingin kita lakukan? Banyak mana lagikah dosa yang ingin kita terus kumpul???

Sedarlah wahai manusia yang memimpin bumi, bangunlah dari kejahilan lalu. Mulakan langkah baru. Mulakan hidup baru bersama Islam. Jadikan kisah silam kita sebagai pengalaman untuk maju ke hadapan. Carilah redho Ilahi. Bukan redho manusia. Kejarlah syurga Allah bukan syurga dunia. Jangan rugikan diri dengan perkara yang sia-sia. Jangan pandang enteng pandangan Allah terhadap kita. Waspadalah dengan azab Allah. Berhati-hatilah dengan setiap perkara yang kita lakukan supaya tidak ada lagi benda kejahilan yang kita lakukan. 

Hari Akhirat adalah hari yang pasti berlaku. Hari setiap makhluk dibangkitkan daripada tidur yang selamanya bagi kita penduduk dunia, namun hanyalah sementara sebelum kita dihimpunkan beramai-ramai kelak. Teringat kata-kata Dr. Amjad dalam muhadarah saqafah Islamiyyah tentang gambaran pada hari kiamat nanti tentang pemberian kitab amalan kita. Kebetulan kami disajikan dengan markah ujian penggal 1 pada hari ini. Dr telah mengingatkan bahawa ujian yang telah kami lakukan ini merupakan test dan gambaran perasaan di mahsyar kelak yang mana apabila kita berasa gembira dengan kejayaan dalam ujian kerana markah yang tinggi, maka samalah juga dengan perasaan apabila kita diberikan kitab amalan dengan tangan kanan yang menunjukkan kita telah berjaya di dunia Allah dengan pangkat mumtaz dan mendapat hadiah syurga daripada Malik kita. Betapa gembiranya perasaan ketika itu setelah kita berhempas pulas melaksanakan perintahNya dan menahan diri daripada perkara-perkara buruk yang sangat susah untuk kita hindari, bukan sahaja itu malahan seronok dan sedap untuk dilakukan seperti hidangan makanan yang sedap tetapi kita ditegah untuk memakannya kerana ianya milik orang lain. Setelah menghadapi segala bentuk ujian dan cabaran, sakitnya hilang dan terus dilupakan setelah mendapat kejayaan di sisiNya. 

Begitulah sebaliknya, sekiranya kita mendapat markah yang rendah di dalam ujian. Kita akan merasa frust dan sedih. Kesal dengan apa yang kita telah lakukan sepanjang masa lalu kita kerana tidak berusaha gigih dan belajar bersungguh-sungguh. Begitu jugalah perasaan kita pada masa kita diberikan kitab dari arah kiri yang mana telah kita fahami maksudnya iaitu neraka Allah sedang menanti untuk membakar diri kita kerana lalai mengikut apa yang telah Tuannya perintahkan. Menghukum kita dengan dosa-dosa yang pernah kita lakukan di muka bumi Dia suatu masa dahulu dengan bangga dan tanpa segan silu. Pada masa kita terima itu kita pasti tertunduk hiba mengenangkan kejahatan dan kesilapan yang kita seronok jalankan. Wajah tertunduk muram kerana tiada lagi jalan pengembalian untuk kita. Tiada lagi peluang untuk kita. Tiada sudah pintu taubat yang terbuka buat kita. Semuanya kelam dan gelap. There's no turning back. Cerita telah tamat. Inilah bezanya dengan ujian yang kita ambil di sekolah atau universiti kerana kita masih tetap mempunyai peluang untuk melakukan yang terbaik pada masa akan datang. Kita boleh mengulang semula subjek yang diambil sekiranya banyak duit dan belajar di universiti. Kita masih boleh buat yang terbaik untuk peperiksaan seterusnya dan membetulkan segalanya.

Namun, hari Akhirat tidak memberikan peluang seperti itu. Kerana itu kita perlulah sentiasa bertaubat dan menyesali perbuatan terkutuk yang kita lakukan. Tidak melakukan lagi perkara yang sama. Lakukan perubahan tidak untuk orang lain melainkan adalah untuk diri kita juga. Allah berfirman dalam surah Al-Haqqah ayat 19 - 37 :-

{ فَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَيَقُولُ هَاؤُمُ اقْرَءُوا كِتَابِيَهْ * إِنِّي ظَنَنْتُ أَنِّي مُلَاقٍ حِسَابِيَهْ * فَهُوَ فِي عِيشَةٍ رَاضِيَةٍ * فِي جَنَّةٍ عَالِيَةٍ * قُطُوفُهَا دَانِيَةٌ * كُلُوا وَاشْرَبُوا هَنِيئًا بِمَا أَسْلَفْتُمْ فِي الْأَيَّامِ الْخَالِيَةِ * وَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِشِمَالِهِ فَيَقُولُ يَا لَيْتَنِي لَمْ أُوتَ كِتَابِيَهْ * وَلَمْ أَدْرِ مَا حِسَابِيَهْ * يَا ‎لَيْتَهَا كَانَتِ الْقَاضِيَةَ * مَا أَغْنَى عَنِّي مَالِيَهْ * هَلَكَ عَنِّي سُلْطَانِيَهْ * خُذُوهُ فَغُلُّوهُ * ثُمَّ الْجَحِيمَ صَلُّوهُ * ثُمَّ فِي سِلْسِلَةٍ ذَرْعُهَا سَبْعُونَ ذِرَاعًا فَاسْلُكُوهُ * إِنَّهُ كَانَ لَا يُؤْمِنُ بِاللَّهِ الْعَظِيمِ * وَلَا يَحُضُّ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ * فَلَيْسَ لَهُ الْيَوْمَ هَا هُنَا حَمِيمٌ * وَلَا طَعَامٌ إِلَّا مِنْ غِسْلِينٍ * لَا يَأْكُلُهُ إِلَّا الْخَاطِئُونَ* }

 Mafhumnya :  
(19) Adapun orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia berkata: "Ambillah, bacalah kitabku ini.”  
(20)  “Sesungguhnya aku yakin, bahawa sesungguhnya aku akan menemui hisab terhadap diriku.”  
(21)  Maka orang itu berada dalam kehidupan yang diredai.  
(22)  Dalam syurga yang tinggi.  
(23)  Buah-buahannya dekat.  
(24)  Makan dan minumlah sepuas-puasnya disebabkan apa yang telah kamu lalui pada hari-hari yang telah lalu. 
(25)  Adapun orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kirinya, maka dia berkata: "Wahai alangkah baiknya jika tidak diberikan kepadaku kitabku ini.”  
(26)  “Dan aku tidak mengetahui apalah hisab terhadap diriku.”   
(27)  “Wahai kiranya (kematian) itulah yang menyelesaikan.”  
(28)  “Hartaku tidak memberi manfaat kepadaku.”  
(29)  “Telah hilang kekuasaanku daripadaku"   
(30)  Peganglah dia, dan belenggulah tangannya ke lehernya.   
(31)  Kemudian masukkan dia ke dalam api neraka yang menyala-nyala.  
(32)  Kemudian (belitlah dia) dengan rantai yang panjangnya tujuh puluh hasta.  
(33)  Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah al-‘Adzim (Yang Maha Besar).  
(34)  Dan dia tidak mendorongkan untuk memberi makan orang miskin.   
(35)  Maka tiada seorang teman pun baginya pada hari ini di sini.  
(36)  Dan tiada makanan sedikit pun (baginya) kecuali dari darah dan nanah.   
(37)  Tidak ada yang memakannya kecuali orang yang berdosa.

Selain itu sampaikan apa yang kita tahu kepada orang lain kerana kita adalah bersaudara. Sebagaimana sayangnya kita kepada ahli keluarga kita, cubalah menyayangi orang lain juga seperti itu. Kerana hanya dengan kasih sayanglah kita akan memberikan dan berkongsi segala yang kita ada dengannya. Kerana itu jugalah apa yang telah disampaikan oleh Nabi kita Muhammad S.A.W. Marilah menjadi penyambung warisan Nabi Muhammad. Berjuang bermatlamatkan Allah Yang Satu.
 

Saturday, 9 April 2011

~Pengembaraan Membawa Kebahagiaan -Part 1-~

Bismillah kalam dimulai...Alhamdulillah atas kudrat yang masih diberi..Allahu akbar tarbiyah dari Ilahi terus menjenguk diri..

Assalamualaikum wbt..Alhamdulillah Dia masih mencipta ruang dan masa serta meminjamkan udara untuk setiap makhluknya bernafas dan menjalankan aktiviti-aktiviti harian seperti sedia kala..Selawat dan salam atas junjungan mulia Sallahu alaihi wasalam..Indahnya hidup dalam Islam..Setiap amalan yang kita lakukan pasti adanya Dia Yang Memerhati..Dia Yang sentiasa Mengikuti dengan penuh sifat Pemurah dan Penyayang, Menjaga dan Melindungi kita walau tanpa kita sedari.

Pengalaman dan tarbiyah yang aku dapat ketika di bumi kinanah Mesir pada cuti yang lepas terlalu indah. Ukhwah yang terjalin, kasih sayang sesama manusia, perjalanan yang mencabar dan menguji, keyakinan yang jitu hanya pada Yang Satu, keberanian dalam menghadapi kehidupan yang pastinya luar biasa, kesabaran dan ketabahan hati dalam mengenali sikap manusia serta berdepan dengan akhlak dan adab insani, ketenangan dalam menghadapi setiap cabaran yang dihadapkan, praktikal dalam konsep tawakal dan redha yang sentiasa diulangi beserta konsep tadarru' serta kecintaan dan keabdian diri seorang hamba kepada Tuannya. Subhanallah segala bentuk perasaan bercampur baur dan bergaul mesra antara satu dengan yang lain. Gembira, sedih, terharu, marah, geram, sayang, sayu, semuanya bergaul menjadi satu adunan perasaan yang tidak dapat diungkapkan hanya dengan kata-kata. Terasa kerdilnya diri, hinanya jika masih berada di tahap yang lama, yang telah lapok, yang dipenuhi dengan lumpur dan selut tanpa perubahan pada diri dan seterusnya tempiasnya pada yang lain.

Perginya aku ke sana bersama dengan beberapa orang sahabat iaitu hanis, kak za dan kak jannah dengan hati yang riang pada pagi hari jumaat, 21 Januari 2011 dengan niat dan tujuan jaulah, mengisi masa yang terluang dengan menimba ilmu di bumi yang penuh dengan sirah dan sejarah para rasul, anbiya', dan ulama'. Mencari serta menggali segala khazanah di sana. Pemergian aku untuk kali yang kedua ini juga dengan membawa niat untuk membeli kitab-kitab di sana dan melawat beberapa orang syeikh yang setia menabur ilmunya pada agama Ilahi. Seminggu sebelum aku bertolak, aku telah berbincang dengan hanis segala tempat yang bakal dilawati serta semua program yang akan dilakukan. Perancangan disusun baik dan lengkap supaya tidak menyusahkan kawan-kawan di seberang sana serta masa tidak dibuang begitu sahaja memandangkan ini mungkin merupakan trip kami yang terakhir ke bumi kinanah itu.

Perjalanan yang memakan masa sejam lebih dengan menaiki Egypt Air akhirnya menjejakkan kaki kami sekali lagi. Sesampainya di sana kami di jemput oleh 2 orang kenalan iaitu kak kimah dan kak dila yang kami kenali ketika trip kami yang pertama kira-kira 2 tahun yang lepas. Kami dibawa ke rumah mereka di rabaah, kaherah. Selepas sahaja sampai ke rumah tersebut perkara pertama yang aku lakukan hanyalah tidur kerana kepenatan buat kerja tanpa henti pada hari-hari sebelumnya, menyelesaikan segala tugasan dan amanah yang diberikan. Alhamdulillah segalanya siap on time dan Allah permudahkan urusan. Hari kedua di teratak rabaah, plan yang dirancang pada awalnya sebelum ke sana terpaksa di ubah kerana travel yang kami ikut mendapat maklumat bahawa pengangkutan yang akan kami naiki akan belayar pada hari selasa. So, rancangan ditukar ke Alexandria.

Kami berada di sana selama 3 hari. Hari pertama kami sampai pada jam lebih kurang 3 petang kalau x silap dan dijemput oleh kawan hanis. Nama dia Badriah. Bad la yang menjadi guider kami merangkap muroqibah yang bertauliah buat kami..Terima kasih banyak ye bad..hehe..Memang best la..Tapi masa kami di sana terlalu pendek. So, tak dapat jalan ke semua tempat kat sana. Walaubagaimanapun, tempat yang paling best dan kira macam 'batak' siket bila kami semua pergi ialah maktabah alex..Memang sangat mengagumkan dan menarik..Rasa macam taknak balik je, nak duduk kat sana tapi mestilah tak dibenarkan sama sekali kan..huhu..Lepas tu,kami ada jugak masuk istana Raja Farouq..Punya la excited nak masuk sana..kira macam da jatuh cinta dengan raja tu la..Tiba-tiba dengar cerita raja ni jahat dan kejam rupanya..Terus hati berkecai berkeping-keping..Tapi still kami masuk dan bergambar depan istana tu..bukan mudah kan nak sampai sana..kira syarat sampai sana la tu..kalau tak silap nama tempat tu Muntaza. Then kami pun ada gak naik bot kat pantai dia tu..Yang tempat cerita KCB ke KBC berlakon tu..haa, senang cerita semua tempat yang famous kat sana kami pergi la..hehe..

Pengalaman yang paling tak boleh dilupakan kat Iskandariah ni ialah kitorang dapat rasa keadaan langgar orang. Ceritanya camni, kami nak ke Muntaza hari tu. Tiba-tiba bas yang kami naiki terlanggar orang yang tengah jalan kat tepi jalan tu.Kami semua turun dari bas dan nampak la orang tu terbaring kat tepi jalan..Kuat sangat bas tu langgar. Muka kami semua nampak sangat cuak sampai makcik kat situ cakap takyah takut..huhu..Akhirnya kami pun meneruskan perjalanan dengan tuttut membawa perasaan yang tidak keruan ke destinasi seterusnya..Perasaan melanggar orang memang hanya Allah yang tahu. Nak kata bila-bila masa sahaja kemungkinan Allah menjemput kita untuk pulang kepada Dia semula.Hidup kita hanya sementara di dunia ini. Walaupun orang tu jalan di tepi jalan. Memang jalan yang pada akal kita selamat untuk berjalan di atasnya. Namun, apabila Allah mentakdirkan dia dilanggar oleh bas yang kami naiki. Perkara itu memang tidak dapat tidak untuk dielakkan. Setiap detik hidup kita ini perlulah diserahkan hanya kepadaNya. Bayangkan jika kita berada di tempat orang tu, kita berjalan dengan niat yang salah seperti melepak bersama kawan-kawan untuk bercerita keburukan orang atau hanya membuang masa kerana tiada apa-apa yang perlu dilakukan. Dan apabila berlaku sesuatu kepada kita, pastinya pengakhiran hidup kita itu adalah dengan perkara yang sia-sia.Rugi kan macam tu?? So, pastikan setiap amalan dan perkara yang kita lakukan hanya untukNya. Perbaharui niat dalam apa sahaja yang kita lakukan. Jadikan Allah sebagai hadaf dan the only target dalam hidup kita ni untuk menyerahkan hidup kepadaNya untuk mendapatkan keredhoan-Nya.

Ok..ni cerita di Alexandria..Kemudian kami pulang ke Kaherah semula pada hari itu juga. Permusafiran kami seterusnya akan diceritakan kemudian sebab da banyak sangat..Mesti da malas nak baca kan..Pengalaman di tempat seterusnya mungkin lebih banyak dan menarik in syaa Allah..Moga cerita ini dapat berikan mafaat kepada semua. Wallahua'lam.

Wednesday, 22 December 2010

Sebelum mata terlena

Bismillahirrahmannirrahim..

Assalamualaikum w.b.t..
Kaifa halukum jamian??Alhamdullilah atas kurniaan pinjaman kekuatan dari Nya yang masih berbaki pada diri ini walaupun kesihatan tidaklah seperti biasa. Tetap ku gagahkan diri untuk menekan sedikit kalimah buat tatapan sang pencari ilmu.Selawat dan salam atas junjungan mulia Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam. Moga redho Allah sentiasa bersama kita semua..amin~!!

Sebenarnya entry kali ini saya hanya ingin memohon maaf kepada semua atas setiap kesalahan dan dosa-dosa yang pernah dilakukan selama denyutan nafas saya pernah bersama kalian. Maaf atas tiap ketajaman dan ketidaksopanan tuturkata yang pernah dilafazkan dan dituturkan. Setiap tindak laku dan perbuatan yang menjengkilkan..Setiap pergerakan dan sifat-sifat yang menambahkan kejelikan dan kebencian. Juga atas setiap perkara yang menyebabkan mereka2 yang lain terasa susah dan lemas.Maaf atas segala-galanya..
Tiada niat untuk menyakiti sesiapa melainkan hanyalah sebuah cadangan... juga sebagai senda gurauan...mengharap pengertian dari sebuah ikatan...juga kasih sayang yang berpanjangan...agar setiap yang bersama kekal dalam sebuah perjuangan...dalam meniti hari menuju kekasihnya pada masa yang telah ditetapkan...

Sejak beberapa hari yang lepas, Allah telah menarik sedikit nikmat kesihatan daripada hambanya yang lemah ini. Dan sepanjang tempoh ini terasa seperti banyak perkara yang tidak sepatutnya dilakukan telah dilakukan dan perlu pada pembetulan. Saya benar-benar memohon maaf pada sesiapa yang ada merasakan sedikit sakit hati ( apatah lagi yang banyak) atas apa-apa tindakan saya yang melampaui batas kepada anda semua. saya hanyalah seorang yang lemah dan perlukan pada teguran demi membetulkan dan meletakkan kembali segalanya pada tempatnya. Mohon kemaafan dari anda semua dan bantulah diri ini dalam mengubah segala kejahilan. Moga dengan perubahan ini dapat merubah seorang yang baru bertatih kepada seorang pelari yang mampu mengubah ramai lagi orang yang sepertinya kelak in syaa Allah.

Tetapi, andai kata tiada lagi hari yang bakal menjelma. Mohon doa dari semua agar kita semua jangan lupa untuk muhasabah setiap calit waktu yang telah kita lalui. Moga kemaafan dari setiap makhluk yang mengenali sentisa mengikuti beserta doa buat rabbi. Moga setiap perubahan yang kita lakukan terbias kepada si teman yang sentiasa faham akan pentarbiyahan dari sebuah kehidupan yang bakal menjadi bekalan di alam kuburan.
Wallahua'lam..

marilah sama-sama kita hayati lagu ini..