Thursday 28 April 2011

Sampai Bila Harus Ku Lari..@_@


Sampai bila harus ku lari Ya ALLAH,
Besarnya ujianMu untukku,
Apakah yang harus aku lakukan,
Langkah manakah yang menjadi pilihan,
Aku perlukan jawapan,
Aku perlukan pengertian,
Kerdilnya aku dihadapanMu,
Tidak mampu memikul bebanan,
Tidak mampu memikul tanggungjawab,
Tidak mampu memikul amanah,
Sedang tugasku adalah menyampaikan,
Walau hanya sepotong ayat.

Sampai bila harus ku lari Ya Allah,
Lemahnya diriku,
Sedang sahabat dulu sangat teguh dan kuat,
Menegakkan islam tanpa gentar,
Biar diseksa jasadiah,
Biar dipanah emosi,
Biar disisih tersayang,
Kerana yakinnya pada janjiMu,
Fahamnya pada sebuah perjuangan,
Cintanya diluar batasan.

Sampai bila harus ku lari Ya Allah,
Engkau telah berikanku jalan yang terbaik,
Namun aku tidak pandai dalam membuat pilihan,
Kesemua jalan itu membawa aku kepadaMu,
Kesemua jalan itu membimbingku dekat denganMu,
Kesemua jalan itu menyedarkan aku tentang siapakah aku,
Pertimbangan bagaimana lagikah yg harus aku gunakan,
Pendirian bagaimana pulakah yang harus ku sematkan,
Bantulah aku Ya Alim,
Kerana Engkau mengetahui segalanya,
Sedang aku hamba yg keliru dan alpa.

Sampai bila harus ku lari Ya Allah,
Istikharoh mengiringi hari-hari,
Taubat memohon keampunan diri,
Tahajud penenang di malam hari,
Lalu dhuha menyapa dini hari,
Namun jawapannya tetap belum ku temui,
atau adakah aku yg menjauhi,
Tamak dgn pilihan yg diberi,
Kerana nilainya menyinari sanubari,
Kerana nilainya menyentuh hati,
Kerana nilainya tidak pernah berhenti,
Mencari-cari siapa yg menghendaki,
Sebagai pembawa agama ilahi,
dan penyebar risalah suci.

Sampai bila harus ku lari Ya Allah.

Tuesday 26 April 2011

~Gentarlah Diri, Kiamat Bakal Menyapamu.~

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah syukur atas nikmat dan pinjamanNya yang masih diberikan sehingga detik ini terutamanya nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam kepada junjungan besar Muhammad S.A.W. yang telah berusaha gigih menyampaikan Islam sehingga agama ini sampai kepada kita pada hari ini. Agama mulia yang juga diperintahkan Allah kepada kita untuk menyambung dan meneruskan perjuangan itu hingga sampai ke titisan darah dan hembusan nafas yang terakhir walau dengan apa cara sekalipun.

Alhamdulillah Dia menganugerahkan kepada aku satu kefahaman bahawa hidup ini perlu diteruskan walau hanya ujian yang perlu dihadapi di hadapan. Jangan pernah mengeluh dan berputus asa dari rahmat dan hidayahNya kerana cintaNya amat luas. Dia tidak akan pernah meninggalkan hambaNya terkapai-kapai mencari jalan seorang diri. Cuma adakah hambaNya itu sedar akan hakikat itu. Ya Allah, ampunilah kami. FirmanNya dalam surah Ar-Rahman :-
                  
{ * الرَّحْمَنُ * عَلَّمَ الْقُرْآنَ * خَلَقَ الْإِنْسَانَ * عَلَّمَهُ الْبَيَانَ } 

Mafhumnya : [1] (Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.
[2] Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran.
[3] Dia lah yang telah menciptakan manusia.
[4] Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan. 

Tugas kita di muka bumi ini sebagai khalifah. Kita telah diberi amanah dan tanggungjawab untuk menyebarkan Islam. Kita telah ditunjukkan dengan cara-cara bagaimana untuk berdakwah. Kita dipamerkan juga dengan contoh2 para nabi yang telah bersusah payah menyeru kaum2 mereka dengan matlamat dan tujuan yang jelas iaitu mengesakan Allah. Itulah tugas kita. Sama seperti Nabi-Nabi terdahulu. Ujian dan cabaran dalam berdakwah itu satu perkara yang lazim. Banyak kisah para nabi di dalam Kitab suci Al-Quran yang boleh kita jadikan penguat tatkala rasa lemah menyapa diri. Terlalu banyak kata-kata pujukan dari Tuhan tatkala kesedihan mengiringi hari kita. Semuanya telah Dia sediakan untuk kita. Semuanya telah Dia berikan kepada kita. Lihatlah betapa kasih dan cintaNya Dia kepada kita. Tapi banyak manakah larangan Dia yang telah kita lakukan? Banyak manakah tugasan yang Dia berikan telah kita siapkan? Banyak manakah cinta kita kepada Dia? Banyak manakah lagi kemungkaran yang ingin kita lakukan? Banyak mana lagikah dosa yang ingin kita terus kumpul???

Sedarlah wahai manusia yang memimpin bumi, bangunlah dari kejahilan lalu. Mulakan langkah baru. Mulakan hidup baru bersama Islam. Jadikan kisah silam kita sebagai pengalaman untuk maju ke hadapan. Carilah redho Ilahi. Bukan redho manusia. Kejarlah syurga Allah bukan syurga dunia. Jangan rugikan diri dengan perkara yang sia-sia. Jangan pandang enteng pandangan Allah terhadap kita. Waspadalah dengan azab Allah. Berhati-hatilah dengan setiap perkara yang kita lakukan supaya tidak ada lagi benda kejahilan yang kita lakukan. 

Hari Akhirat adalah hari yang pasti berlaku. Hari setiap makhluk dibangkitkan daripada tidur yang selamanya bagi kita penduduk dunia, namun hanyalah sementara sebelum kita dihimpunkan beramai-ramai kelak. Teringat kata-kata Dr. Amjad dalam muhadarah saqafah Islamiyyah tentang gambaran pada hari kiamat nanti tentang pemberian kitab amalan kita. Kebetulan kami disajikan dengan markah ujian penggal 1 pada hari ini. Dr telah mengingatkan bahawa ujian yang telah kami lakukan ini merupakan test dan gambaran perasaan di mahsyar kelak yang mana apabila kita berasa gembira dengan kejayaan dalam ujian kerana markah yang tinggi, maka samalah juga dengan perasaan apabila kita diberikan kitab amalan dengan tangan kanan yang menunjukkan kita telah berjaya di dunia Allah dengan pangkat mumtaz dan mendapat hadiah syurga daripada Malik kita. Betapa gembiranya perasaan ketika itu setelah kita berhempas pulas melaksanakan perintahNya dan menahan diri daripada perkara-perkara buruk yang sangat susah untuk kita hindari, bukan sahaja itu malahan seronok dan sedap untuk dilakukan seperti hidangan makanan yang sedap tetapi kita ditegah untuk memakannya kerana ianya milik orang lain. Setelah menghadapi segala bentuk ujian dan cabaran, sakitnya hilang dan terus dilupakan setelah mendapat kejayaan di sisiNya. 

Begitulah sebaliknya, sekiranya kita mendapat markah yang rendah di dalam ujian. Kita akan merasa frust dan sedih. Kesal dengan apa yang kita telah lakukan sepanjang masa lalu kita kerana tidak berusaha gigih dan belajar bersungguh-sungguh. Begitu jugalah perasaan kita pada masa kita diberikan kitab dari arah kiri yang mana telah kita fahami maksudnya iaitu neraka Allah sedang menanti untuk membakar diri kita kerana lalai mengikut apa yang telah Tuannya perintahkan. Menghukum kita dengan dosa-dosa yang pernah kita lakukan di muka bumi Dia suatu masa dahulu dengan bangga dan tanpa segan silu. Pada masa kita terima itu kita pasti tertunduk hiba mengenangkan kejahatan dan kesilapan yang kita seronok jalankan. Wajah tertunduk muram kerana tiada lagi jalan pengembalian untuk kita. Tiada lagi peluang untuk kita. Tiada sudah pintu taubat yang terbuka buat kita. Semuanya kelam dan gelap. There's no turning back. Cerita telah tamat. Inilah bezanya dengan ujian yang kita ambil di sekolah atau universiti kerana kita masih tetap mempunyai peluang untuk melakukan yang terbaik pada masa akan datang. Kita boleh mengulang semula subjek yang diambil sekiranya banyak duit dan belajar di universiti. Kita masih boleh buat yang terbaik untuk peperiksaan seterusnya dan membetulkan segalanya.

Namun, hari Akhirat tidak memberikan peluang seperti itu. Kerana itu kita perlulah sentiasa bertaubat dan menyesali perbuatan terkutuk yang kita lakukan. Tidak melakukan lagi perkara yang sama. Lakukan perubahan tidak untuk orang lain melainkan adalah untuk diri kita juga. Allah berfirman dalam surah Al-Haqqah ayat 19 - 37 :-

{ فَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَيَقُولُ هَاؤُمُ اقْرَءُوا كِتَابِيَهْ * إِنِّي ظَنَنْتُ أَنِّي مُلَاقٍ حِسَابِيَهْ * فَهُوَ فِي عِيشَةٍ رَاضِيَةٍ * فِي جَنَّةٍ عَالِيَةٍ * قُطُوفُهَا دَانِيَةٌ * كُلُوا وَاشْرَبُوا هَنِيئًا بِمَا أَسْلَفْتُمْ فِي الْأَيَّامِ الْخَالِيَةِ * وَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِشِمَالِهِ فَيَقُولُ يَا لَيْتَنِي لَمْ أُوتَ كِتَابِيَهْ * وَلَمْ أَدْرِ مَا حِسَابِيَهْ * يَا ‎لَيْتَهَا كَانَتِ الْقَاضِيَةَ * مَا أَغْنَى عَنِّي مَالِيَهْ * هَلَكَ عَنِّي سُلْطَانِيَهْ * خُذُوهُ فَغُلُّوهُ * ثُمَّ الْجَحِيمَ صَلُّوهُ * ثُمَّ فِي سِلْسِلَةٍ ذَرْعُهَا سَبْعُونَ ذِرَاعًا فَاسْلُكُوهُ * إِنَّهُ كَانَ لَا يُؤْمِنُ بِاللَّهِ الْعَظِيمِ * وَلَا يَحُضُّ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ * فَلَيْسَ لَهُ الْيَوْمَ هَا هُنَا حَمِيمٌ * وَلَا طَعَامٌ إِلَّا مِنْ غِسْلِينٍ * لَا يَأْكُلُهُ إِلَّا الْخَاطِئُونَ* }

 Mafhumnya :  
(19) Adapun orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia berkata: "Ambillah, bacalah kitabku ini.”  
(20)  “Sesungguhnya aku yakin, bahawa sesungguhnya aku akan menemui hisab terhadap diriku.”  
(21)  Maka orang itu berada dalam kehidupan yang diredai.  
(22)  Dalam syurga yang tinggi.  
(23)  Buah-buahannya dekat.  
(24)  Makan dan minumlah sepuas-puasnya disebabkan apa yang telah kamu lalui pada hari-hari yang telah lalu. 
(25)  Adapun orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kirinya, maka dia berkata: "Wahai alangkah baiknya jika tidak diberikan kepadaku kitabku ini.”  
(26)  “Dan aku tidak mengetahui apalah hisab terhadap diriku.”   
(27)  “Wahai kiranya (kematian) itulah yang menyelesaikan.”  
(28)  “Hartaku tidak memberi manfaat kepadaku.”  
(29)  “Telah hilang kekuasaanku daripadaku"   
(30)  Peganglah dia, dan belenggulah tangannya ke lehernya.   
(31)  Kemudian masukkan dia ke dalam api neraka yang menyala-nyala.  
(32)  Kemudian (belitlah dia) dengan rantai yang panjangnya tujuh puluh hasta.  
(33)  Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah al-‘Adzim (Yang Maha Besar).  
(34)  Dan dia tidak mendorongkan untuk memberi makan orang miskin.   
(35)  Maka tiada seorang teman pun baginya pada hari ini di sini.  
(36)  Dan tiada makanan sedikit pun (baginya) kecuali dari darah dan nanah.   
(37)  Tidak ada yang memakannya kecuali orang yang berdosa.

Selain itu sampaikan apa yang kita tahu kepada orang lain kerana kita adalah bersaudara. Sebagaimana sayangnya kita kepada ahli keluarga kita, cubalah menyayangi orang lain juga seperti itu. Kerana hanya dengan kasih sayanglah kita akan memberikan dan berkongsi segala yang kita ada dengannya. Kerana itu jugalah apa yang telah disampaikan oleh Nabi kita Muhammad S.A.W. Marilah menjadi penyambung warisan Nabi Muhammad. Berjuang bermatlamatkan Allah Yang Satu.
 

Saturday 9 April 2011

~Pengembaraan Membawa Kebahagiaan -Part 1-~

Bismillah kalam dimulai...Alhamdulillah atas kudrat yang masih diberi..Allahu akbar tarbiyah dari Ilahi terus menjenguk diri..

Assalamualaikum wbt..Alhamdulillah Dia masih mencipta ruang dan masa serta meminjamkan udara untuk setiap makhluknya bernafas dan menjalankan aktiviti-aktiviti harian seperti sedia kala..Selawat dan salam atas junjungan mulia Sallahu alaihi wasalam..Indahnya hidup dalam Islam..Setiap amalan yang kita lakukan pasti adanya Dia Yang Memerhati..Dia Yang sentiasa Mengikuti dengan penuh sifat Pemurah dan Penyayang, Menjaga dan Melindungi kita walau tanpa kita sedari.

Pengalaman dan tarbiyah yang aku dapat ketika di bumi kinanah Mesir pada cuti yang lepas terlalu indah. Ukhwah yang terjalin, kasih sayang sesama manusia, perjalanan yang mencabar dan menguji, keyakinan yang jitu hanya pada Yang Satu, keberanian dalam menghadapi kehidupan yang pastinya luar biasa, kesabaran dan ketabahan hati dalam mengenali sikap manusia serta berdepan dengan akhlak dan adab insani, ketenangan dalam menghadapi setiap cabaran yang dihadapkan, praktikal dalam konsep tawakal dan redha yang sentiasa diulangi beserta konsep tadarru' serta kecintaan dan keabdian diri seorang hamba kepada Tuannya. Subhanallah segala bentuk perasaan bercampur baur dan bergaul mesra antara satu dengan yang lain. Gembira, sedih, terharu, marah, geram, sayang, sayu, semuanya bergaul menjadi satu adunan perasaan yang tidak dapat diungkapkan hanya dengan kata-kata. Terasa kerdilnya diri, hinanya jika masih berada di tahap yang lama, yang telah lapok, yang dipenuhi dengan lumpur dan selut tanpa perubahan pada diri dan seterusnya tempiasnya pada yang lain.

Perginya aku ke sana bersama dengan beberapa orang sahabat iaitu hanis, kak za dan kak jannah dengan hati yang riang pada pagi hari jumaat, 21 Januari 2011 dengan niat dan tujuan jaulah, mengisi masa yang terluang dengan menimba ilmu di bumi yang penuh dengan sirah dan sejarah para rasul, anbiya', dan ulama'. Mencari serta menggali segala khazanah di sana. Pemergian aku untuk kali yang kedua ini juga dengan membawa niat untuk membeli kitab-kitab di sana dan melawat beberapa orang syeikh yang setia menabur ilmunya pada agama Ilahi. Seminggu sebelum aku bertolak, aku telah berbincang dengan hanis segala tempat yang bakal dilawati serta semua program yang akan dilakukan. Perancangan disusun baik dan lengkap supaya tidak menyusahkan kawan-kawan di seberang sana serta masa tidak dibuang begitu sahaja memandangkan ini mungkin merupakan trip kami yang terakhir ke bumi kinanah itu.

Perjalanan yang memakan masa sejam lebih dengan menaiki Egypt Air akhirnya menjejakkan kaki kami sekali lagi. Sesampainya di sana kami di jemput oleh 2 orang kenalan iaitu kak kimah dan kak dila yang kami kenali ketika trip kami yang pertama kira-kira 2 tahun yang lepas. Kami dibawa ke rumah mereka di rabaah, kaherah. Selepas sahaja sampai ke rumah tersebut perkara pertama yang aku lakukan hanyalah tidur kerana kepenatan buat kerja tanpa henti pada hari-hari sebelumnya, menyelesaikan segala tugasan dan amanah yang diberikan. Alhamdulillah segalanya siap on time dan Allah permudahkan urusan. Hari kedua di teratak rabaah, plan yang dirancang pada awalnya sebelum ke sana terpaksa di ubah kerana travel yang kami ikut mendapat maklumat bahawa pengangkutan yang akan kami naiki akan belayar pada hari selasa. So, rancangan ditukar ke Alexandria.

Kami berada di sana selama 3 hari. Hari pertama kami sampai pada jam lebih kurang 3 petang kalau x silap dan dijemput oleh kawan hanis. Nama dia Badriah. Bad la yang menjadi guider kami merangkap muroqibah yang bertauliah buat kami..Terima kasih banyak ye bad..hehe..Memang best la..Tapi masa kami di sana terlalu pendek. So, tak dapat jalan ke semua tempat kat sana. Walaubagaimanapun, tempat yang paling best dan kira macam 'batak' siket bila kami semua pergi ialah maktabah alex..Memang sangat mengagumkan dan menarik..Rasa macam taknak balik je, nak duduk kat sana tapi mestilah tak dibenarkan sama sekali kan..huhu..Lepas tu,kami ada jugak masuk istana Raja Farouq..Punya la excited nak masuk sana..kira macam da jatuh cinta dengan raja tu la..Tiba-tiba dengar cerita raja ni jahat dan kejam rupanya..Terus hati berkecai berkeping-keping..Tapi still kami masuk dan bergambar depan istana tu..bukan mudah kan nak sampai sana..kira syarat sampai sana la tu..kalau tak silap nama tempat tu Muntaza. Then kami pun ada gak naik bot kat pantai dia tu..Yang tempat cerita KCB ke KBC berlakon tu..haa, senang cerita semua tempat yang famous kat sana kami pergi la..hehe..

Pengalaman yang paling tak boleh dilupakan kat Iskandariah ni ialah kitorang dapat rasa keadaan langgar orang. Ceritanya camni, kami nak ke Muntaza hari tu. Tiba-tiba bas yang kami naiki terlanggar orang yang tengah jalan kat tepi jalan tu.Kami semua turun dari bas dan nampak la orang tu terbaring kat tepi jalan..Kuat sangat bas tu langgar. Muka kami semua nampak sangat cuak sampai makcik kat situ cakap takyah takut..huhu..Akhirnya kami pun meneruskan perjalanan dengan tuttut membawa perasaan yang tidak keruan ke destinasi seterusnya..Perasaan melanggar orang memang hanya Allah yang tahu. Nak kata bila-bila masa sahaja kemungkinan Allah menjemput kita untuk pulang kepada Dia semula.Hidup kita hanya sementara di dunia ini. Walaupun orang tu jalan di tepi jalan. Memang jalan yang pada akal kita selamat untuk berjalan di atasnya. Namun, apabila Allah mentakdirkan dia dilanggar oleh bas yang kami naiki. Perkara itu memang tidak dapat tidak untuk dielakkan. Setiap detik hidup kita ini perlulah diserahkan hanya kepadaNya. Bayangkan jika kita berada di tempat orang tu, kita berjalan dengan niat yang salah seperti melepak bersama kawan-kawan untuk bercerita keburukan orang atau hanya membuang masa kerana tiada apa-apa yang perlu dilakukan. Dan apabila berlaku sesuatu kepada kita, pastinya pengakhiran hidup kita itu adalah dengan perkara yang sia-sia.Rugi kan macam tu?? So, pastikan setiap amalan dan perkara yang kita lakukan hanya untukNya. Perbaharui niat dalam apa sahaja yang kita lakukan. Jadikan Allah sebagai hadaf dan the only target dalam hidup kita ni untuk menyerahkan hidup kepadaNya untuk mendapatkan keredhoan-Nya.

Ok..ni cerita di Alexandria..Kemudian kami pulang ke Kaherah semula pada hari itu juga. Permusafiran kami seterusnya akan diceritakan kemudian sebab da banyak sangat..Mesti da malas nak baca kan..Pengalaman di tempat seterusnya mungkin lebih banyak dan menarik in syaa Allah..Moga cerita ini dapat berikan mafaat kepada semua. Wallahua'lam.