Monday, 27 July 2009

Hormatilah Ilmu


Alhamdulillah..Segala puji bagi Allah kerana memberikan saya idea dan kekuatan untuk menyumbang sedikit ilmu yang diberikan olehNya. Saya terpanggil untuk menceritakan berkaitan bagaimana cara sesetengah pihak melayan dan menghormati ilmu. Melihat pada keadaan sekarang, saya dapati tidak ramai daripada kalangan kita yang benar-benar menghormati ilmu sedang ilmu itu tarafnya sangatlah tinggi sepertimana dalam firman Allah yang bermaksud :


“Wahai orang-orang yang beriman!! Apabila dikatakan kepadamu, “berilah kelapangan di dalam majlis-majlis,” maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan, “berdirilah kamu” maka berdirilah, nescaya Allah akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha teliti apa yang kamu kerjakan.”


Cuba kita bayangkan betapa besar dan tingginya nilai ilmu tersebut. Seseorang yang berilmu akan diangkat darjatnya ke beberapa darjat. Ini menunujukkan ilmu itu sendiri sudah berada di tahap dan martabat yang tinggi di sisi Allah, jika tidak, bagaimanakah yang dikatakan orang berilmu itu Allah angkat ke beberapa darjat yang tinggi.

Di sini saya ingin menceritakan sedikit kisah yang pernah saya lalui sewaktu di sekolah suatu masa dahulu. Pada suatu petang selepas pulang dari kelas prep (preparation class), saya dan kawan singgah di kantin yang terletak tidak berapa jauh daripada asrama kami untuk membeli minuman. Pada waktu itu terdapat beberapa orang pelajar lain yang sedang membeli juga.Jadi kami membiarkan pelajar tersebut menyudahi urusan pembelian dahulu kerana mereka yang datang dulu, tak manis la sekiranya kami memotong barisan kan.


Selepas mereka selesai dan pergi, kami pun minta la pada kakak yang menjual di kantin sekolah kami tu. Kakak ni merupakan pekerja dari Indonesia. Dalam masa kami menunggu minuman kami siap dibuat dan diberikan pada kami, sempat kami berbual dengan kakak tersebut. Kira cam beramah mesra la. Dia menceritakan tentang keadaan di tempat dia yang mana mereka sangat menghormati ilmu. Dia berasa agak pelik dengan pelajar di sekolah kami sedangkan kami merupakan pelajar sekolah agama. Agak malu rasa hati apabila ditegur dan ditanya berkaitan cara kami menghormati ilmu. Apa yang dia pelik adalah kerana dia melihat buku-buku ditinggalkan begitu sahaja di mana-mana premis. Kadang-kadang apabila ditiup angin, kertas-kertas atau nota-nota yang berada di dalam buku tersebut berterbangan ke merata tempat tetapi dibiarkan begitu sahaja oleh mata-mata yang melihat. Tidak ramai yang rajin untuk mengutip dan meletakkan di tempat yang lebih sesuai.


Yang paling menakjubkan adalah kerana dia menyatakan yang di tempat dia, ilmu sangat dijunjung dan dijaga dengan baik. Mereka tidak akan menindih buku-buku ilmiah dengan sebarang alatan atau barang-barang lain. Apa yang dinyatakan ini adalah kerana dia melihat terdapat ramai pelajar yang membawa buku dan menindihkan buku-buku tersebut dengan botol air dan kotak pensil. Betapa kagumnya saya dengan cara mereka menghormati ilmu. Mereka menjaga buku-buku ini seperti menjaga kitab suci kita, diletakkan dan disimpan ditempat yang tinggi dan tidak ditindih dengan apa-apa barang sekalipun. Subhanallah..


Cerita tersebut ketika saya masih di bangku sekolah dan berada di negara tercinta. Selepas saya berkelana ke negara syam yang pada awalnya saya fikir pasti lebih baik akhlak dan cara mereka bermuamalat dengan ilmu ini, rupanya harapan dan anggapan saya itu meleset dan salah sama sekali. Bukanlah niat saya disini untuk menghina negara para anbiya’ ini tetapi keadaan dan orang-orang disini membuatkan saya terfikir untuk berkongsi sedikit pengalaman dan kritikan yang mungkin bermanfaat buat kita semua.


Apa yang ingin saya kritik ialah mereka ini sanggup dan tegar duduk di atas buku-buku mereka untuk mengelakkan debu-debu putih atau kotoran melekat pada pakaian mereka sedangkan banyak bangku-bangku panjang yang disediakan oleh pihak universiti. Perkara ini bukan sahaja dilakukan oleh pelajar-pelajar dari kuliah yang bukan bidang agama seperti pelajar-pelajar perubatan, farmasi dan sebagainya tetapi juga oleh pelajar syariah sendiri yang mana mempelajari tentang ilmu-ilmu agama dan pastinya mengetahui betapa mulianya nilai sesuatu ilmu itu. Malangnya mereka juga turut melakukan perkara sedemikian rupa. Bayangkanlah buku yang mereka gunakan untuk dijadikan alas tersebut. Pastinya terdapat ayat-ayat Al-quran dan hadis-hadis didalamnya. Tidakkah itu seperti duduk atau lebih jelas meletakkan punggung di atas ayat-ayat suci Al-quran dan hadis-hadis tersebut? Tidakkah ia dilihat seperti menghina? Fikir-fikirkanlah…


Selain itu, saya juga pernah melihat al-quran berada didalam tandas secara terbuka yang akhirnya dibawa keluar dan diletakkan di musolla yang tidak jauh daripada tandas tersebut. Ketika itu saya berada di dalam tandas perpustakaan.Untuk mengatakan yang tiada tempat untuk diletakkan Al-quran tersebut adalah sangat mustahil. Mana mungkin di dalam perpustakaan tiada meja dan tempat untuk diletakkan sebentar Al-quran tersebut. Sekiranya kitab suci ini boleh diperlakukan sedemikian rupa, bayangkanlah kitab-kitab yang lain. Pastinya lebih daripada itu mereka sanggup memperlakukannya.


Tetapi ingin saya tegaskan disini bahawa bukanlah semua daripada mereka bersikap dengan sikap begitu, terdapat segelintir yang peka dan sensitif berkaitan perkara ini. Ini kerana pernah suatu hari, saya bersama kawan arab saya duduk bersama dan ketika kawan yang lain mengeluarkan kitab untuk duduk, dia menegah melakukannya dengan alasan terdapat ayat-ayat Al-quran didalamnya. Alhamdulillah terdapat segelintir yang masih berfikir demikian tetapi alangkah indahnya sekiranya semua daripada mereka yang begitu.


Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama tingkatkan lagi cara kita dalam menghormati ilmu tidak kira dalam apa bentuk sekalipun. Bukanlah saya menulis ini menunjukkan kesempurnaan saya dalam menghormati ilmu ini, tetapi itulah harapan buat diri sendiri dan para pembaca supaya kita lebih peka dan sensitif terhadap perkara ini. Wallahua’lam…



Friday, 24 July 2009

Nikah Khitbah: Solusi Masalah Cinta Remaja



Oleh : Ustaz Maszlee M
alik
Dipetik dari Majalah I, Mei 200
6


Selepas Majalah I sudi menerbitkan artikel “Cinta anta dan anti” penulis menerima banyak maklum balas. Sama ada melalui sms, panggilan telefon, emel dan juga pertanyaan-pertanyaan. Apabila majalah I bulan Mac pun turut memaparkan reaksi para pembaca mengenai artikel tersebut, persoalan ini semakin popular. Terdapat juga pertubuhan-pertubuhan di IPTA dan IPTS menjemput penulis untuk berbicara “soal cinta”. Walaupun bukanlah seorang pakar dalam hal ini, namun pengalaman yang dilalui sepanjang enam tahun menjadi pensyarah IPT turut mendorong artikel tersebut dihasilkan.


Antara soalan yang biasa diajukan kepada penulis berkaitan artikel “cinta anta dan anti” ialah: “Apakah kesudahannya?” atau “Apakah penyelesaiannya?” Artikel tersebut seolah-olah tergantung, dan ramai yang begitu ingin mendapatkan jawapannya.


“Ustaz, jangan biarkan kami terawang-awang begini, berikanlah penyelesaiannya!”, antara bunyi sms yang pernah diterima. Mudah-mudahan nukilan ini cuba memberikan alternatifnya.


Akibat Kurang Bercinta

Ketika ada yang bertanya punca siswa dan siswi Melayu kurang cemerlang di IPT, saya jawab dengan mudah: “Mereka kurang bercinta!”. Tentu ramai yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut. Mereka lantas mengungkit teori saya bahawa ramainya pelajar Melayu gagal di IPT adalah kerana gejala “coupling”. Saya menegaskan bahawa memang “coupling”lah yang menjadi faktor utama kegagalan pelajar-pelajar IPT, tidak kira Melayu atau bukan. Coupling hanya menghabiskan masa, duit, perasaan dan juga tenaga intelektual yang mereka ada. Coupling hanya membawa kepada kegagalan, kecuali coupling yang halal, iaitu menerusi perkahwinan! Lihat sahajalah laporan akhbar kosmo mengenai kegiatan seks luar nikah dan juga aktiviti pengguguran para siswi IPT di ibu kota.


Cuma bercinta dan coupling adalah dua benda yang berbeza. Bercinta yang dimaksudkan ialah proses percintaan yang sebenar. Cinta yang suci dan bersifat positif dan jauh dari pencemaran maknanya yang hakiki. Cinta yang difahami oleh kebanyakan orang dewasa ini adalah “nafsu” dan bukannya cinta. Cinta telah ditukarkan kepada nafsu oleh idealogi materialisme dan juga liberalisme yang berjaya menjajah pemikiran manusia dewasa ini. Cinta sebenarnya bersifat suci dan positif serta jauh dari nafsu. Sayangnya apabila manusia gagal memahami erti cinta, mereka telah menjadikannya sesuatu yang taboo, negatif dan juga tidak suci lagi.


Coupling pula, walaupun dari segi literalnya bersikap neutral, tetapi telah dikotorkan oleh idealogi liberal yang menjadikannya hanya sebagai definisi kepada perhubungan intim dia insan berlaina jantina sebelum berkahwin. Mengikut tafsiran coupling yang difahami oleh ramai orang dewasa ini, ia bukanlah bercinta, tetapi lebih kepada “melayan nafsu serakah” semata-mata.


Cinta yang dimaksudkan di sini ialah cinta suci. Cinta kepada Allah dan Rasul, cinta kepada agama Islam, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada negara dan juga cinta kepada pasangan suami atau isteri. Cinta akan menjadi unsur motivasi dan penggerak, dengan syarat ia adalah cinta sejati!


Khitbah Bukan Tunang

Salah seorang remaja dari salah sebuah IPT di Gombak pernah mengatakan, “Alah, takkan tak boleh couple ustaz, kita ni bukan hidup zaman dulu lagi. Lagipun bukan buat apa-apa, untuk suka-suka aje!”.


Penulis menjawab: “Siapa kata tak boleh coupling? Nak bercouple, bercouplelah, tapi kena dengan cara yang halal…iaitu bernikah!”.


Jika diutarakan persoalan nikah, ramai yang akan memberikan respon yang skeptic. “Mana ada duit!”, “Nak bagi anak orang makan apa?”, “Mak bapak tak kasi!”, “Nak tinggal di mana?”, “Mana ada kerja lagi!”, “Diri sendiri pun tidak terjaga!” dan pelbagai alasan lagi. Mengapa mereka boleh mengemukakan alasan-alasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan untuk melakukan perkara yang haram? Jawapan saya bagi segala persoalan tersebut, mudah sahaja… “Kamu wajib berkhitbah!”.


Apakah “khitbah”? Jika diterjemahkan secara literalnya, ia membawa maksud “bertunang”. Bertunang menurut adat dan pengamalan orang Melayu adalah perjanjian di antara dua orang insan untuk berkahwin melalui proses ritual tertentu. Definisi itu jugalah yang terdapat dalam pengamalan fiqh klasik dan juga di zaman Rasulullah s.a.w. Definisi ini jugalah yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di Malaysia. Malangnya, disebabkan kejahilan masyarakat, hubungan pertunangan yang sekadar perjanjian semata-mata ini, akhirnya dianggap sebagai upacara untuk menghalalkan perhubungan di antara dua pihak yang bertunang. Lebih dahsyat lagi, ada di antara ibu bapa yang menyangkakan bahawa bertunang bermaksud “separuh berkahwin”. Ada pasangan yang bertunang, berpelesiran, berpegangan tangan dan juga bermadu asmara akan cuba menjustifikasikan tindakan tersebut dengan ikatan pertunangan serta mendapat restu ibu bapa kedua-dua belah pihak.


Khitbah menurut pengamalan orang Arab moden, terutamanya di Jordan pula amat berbeza dengan pengamalan orang bertunang secara klasikal dan juga pengamalan orang Melayu. Ia merupakan “akad nikah” dalam erti kata yang sebenar. Akad khitbah di dalam masyarakat arab pada realitinya merupakan akad nikah. Seperkara yang membezakan di antara akad nikah dan khitbah ialah kedua-dua pasangan khitbah tidak tinggal bersama sehinggalah selesai majlis perkahwinan dijalankan. Pada dasarnya, mereka berdua adalah suami isteri dan halal untuk melakukan apa sahaja yang difikirkan untuk mereka melakukannya. Di dalam masyarakat kita, pernikahan tersebut diberikan nama “nikah gantung”. Bukankah bunyinya amat mengerikan?


Jika ditukarkan nama “nikah gantung” tersebut kepada “nikah khitbah” tentu konotasi terhadap kontrak tersebut tidaklah mengerikan. Bunyinya pun agak “islamik”. Jika ia dapat diamalkan oleh kebanyakan para siswa dan siswi kampus yang dilanda asmara dan cinta serius berkemungkinan ia boleh menyelesaikan banyak perkara yang mereka hadapi.


Khitbah di IPT

Jika pelbagai alasan yang dikemukakan demi mengatakan bahawa bernikah di alam kampus itu mustahil, maka khitbah adalah solusinya. Kedua-dua pasangan tidak perlu duduk sekali, tidak perlu mencari rumah berasingan, tidak perlu menanggung satu sama lain, tidak perlu makan lebih,tidak perlu membeli peralatan rumah dan perabot-perabot. Nikah adalah untuk menghalalkan perhubungan dan juga membina kematangan. Yang utamanya, kedua-dua pasangan sudah halal dan sudah boleh bersama dan melakukan apa sahaja.


Bunyinya agak mudah, namun realitinya tidak demikian. Sudah pasti ada ibu bapa akan tidak bersetuju. Dalam hal ini, anjakan paradigma oleh para ibu bapa amat diperlukan. Ibu bapa perlu sedar zaman anak-anak mereka kini bukanlah seperti zaman mereka dahulu. Zaman kini fitnahnya berleluasa dan kebejatan moral menggila. Lihatlah apa yang berlaku di IPT-IPT seluruh tanah air, rasanya pendedahan oleh sebuah akhbar harian baru-baru ini mengenai aktiviti pengangguran di IPT-IPT Lembah Klang sudah cukup merisaukan banyak pihak. Apakah ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka menjadi malaikat yang tidak terpengaruh dengan suasana persekitaran, rancangan-rancangan hiburan dan bahan-bahan literasi menjurus kea rah maksiat dan nafsu.


Sudah sampai waktunya para ibu bapa moden membuat anjakan paradigma. Mereka hendaklah menerima realiti jahiliah moden yang menggila ini. Mereka menghadapi dua jalan penyelesaian, sama ada menerima arus liberal dan sekular yang menghalalkan segala perhubungan bebas di antara dua jantina, dan kemudian mereka yang akan menanggung malu. Atau pilihan kedua, iaitu untuk membenarkan anak-anak mereka menikmati alam percintaan dengan cara yang halal, iaitu melalui ikatan perkahwinan. Walau bagaimanapun, membenarkan anak-anak mereka bernikah di dalam ini adalah satu risiko. Maka di sinilah peranan ibu bapa moden untuk membantu anak-anak mereka mengurangkan risiko tersebut demi menyelamatkan agama dan maruah mereka.


Kebanyakan ibu bapa menyuarakan kerisauan mereka terhadap kemungkinan anak mereka akan hamil dan ia sudah pasti mengganggu pembelajaran. Penyelesaian untuk perkara tersebut amat mudah. Pasangan itu sendiri perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan pelbagai cara untuk mengelakkan kehamilan sewaktu belajar. Adalah amat naif bagi mereka yang hidup alaf baru ini tidak mengetahui cara untuk mencegah kehamilan. Jika kaedah pencegahan tersebut gagal, dan dengan izin Allah, pasangan tersebut terpaksa menghadapi fasa kehamilan, maka sokongan ibu bapa amat diperlukan.


Risiko

Seperkara yang perlu diingat, perkahwinan di kampus ini juga tidak sunyi dari risiko. Adalah terlalu silap untuk menyangkakan semuanya indah belaka tanpa sebarang cabaran. Pernikahan di kampus hanyalah salah satu penyelesaian untuk masalah perhubungan bebas di antara jantina dan juga salah satu kaedah rawatan untuk gejala maksiat di IPT.


Sekurang-kurangnya, walaupun ia berisiko, namun ia masih dapat mengelakkan risiko yang lebih besar. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang tidak terlibat dengan gejala berpacaran, serta boleh mengawal diri dan nafsu, adalah digalakkan untuk mereka hanya menumpukan perhatian kepada pembelajaran. Cadangan nikah kampus atau nikah khitbah ini hanyalah untuk mereka yang tidak mempunyai ketahanan jiwa dan keyakinan diri yang mantap untuk menghadapai cabaran semasa yang begitu menggila. Akhirnya kepada para siswa dan siswi kampus dan juga para aktivis di universiti, walau apapun tindakan yang diambil, pastikan mardhatillah menjadi matlmat utama!



diambil dari : http://sitihaslizaa.blogspot.com/search/label/Cinta